NAKHON SI THAMMARAT, THAILAND – Cubaan satu sindiket untuk menyeludup 4.6 juta pil kuda bernilai RM6.5 juta ke Malaysia dari negara ini terbongkar dengan tertangkapnya empat lelaki lelaki bersama sebuah kereta dan treler di Daerah Chulabhorn di sini Ahad lalu.
Kejadian pada pukul 12.30 tengah malam itu dikesan selepas anggota bertugas menahan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Jurucakap Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 8 berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu menjumpai sebanyak 600,000 pil kuda.
Katanya, bertindak atas maklumat rampasan tersebut, anggota bertugas berjaya memintas sebuah treler di Lebuh Raya 41, Daerah Thung Yai beberapa jam kemudian.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut membawa kepada penemuan sebanyak 4 juta biji pil kuda. Tiga suspek turut ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Soal siasatan awal mendapati, kesemua suspek mengaku mengambil upah untuk mengangkut dadah berkenaan dari Wilayah Phra Nakhon Si Ayutthaya untuk diserahkan kepada individu tidak dikenali di Daerah Khuan Khanun, Wilayah Phatthalung,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut jurucakap itu, suspek turut mengaku menerima upah antara RM26,200 hingga RM39,350 untuk membuat penghantaran sehingga ke kawasan Selatan Thailand termasuk di Hat Yai.
Katanya, dadah itu dipercayai akan diserah kepada sindiket tertentu sebelum di seludup ke Malaysia melalui kawasan di Selatan Thailand.














