MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas, manakala dua lagi rakannya berjaya diselamatkan dalam tragedi di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd. Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 6.33 petang sebelum pasukan penyelamat dikerahkan ke lokasi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu bergegas keluar dengan jentera pada pukul 6.34 petang.
“Setibanya di pantai, didapati dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam, manakala seorang lagi hilang dipercayai lemas,” katanya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air JBPM Melaka.
Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE