KUALA TERENGGANU – Umat Islam negara ini khususnya di Pantai Timur dijangka menyambut 1 Syawal dalam keadaan panas terik berikutan pertembungan penghujung Monsun Timur Laut (MTL) dan fenomena Ayunan Madden–Julian (MJO).
Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, berdasarkan ramalan, cuaca panas yang sedang melanda sebahagian negara khususnya Terengganu ketika ini dijangka berlarutan sehingga minggu pertama Syawal.

“Kita sedang memasuki penghujung MTL yang biasanya membawa cuaca yang lebih panas dan kering. Fenomena MJO yang kini berada pada fasa kelima turut menjadi pemangkin perubahan cuaca tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Terengganu sedang mengalami cuaca panas dengan suhu maksimum 33 darjah Celsius serta ketiadaan hujan sejak lebih seminggu lalu.
Jing Xiang berkata, gabungan penghujung MTL dan fenomena MJO fasa lima menyebabkan cuaca lebih panas dan kering dirasai lebih ketara di Pantai Timur pada masa ini.
Beliau menjelaskan, fenomena MJO telah meningkatkan keadaan kering di atmosfera sekali gus mengurangkan pembentukan awan hujan.
“Berdasarkan ramalan agensi antarabangsa seperti National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA), fenomena MJO dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga pertengahan minggu hadapan.
“Begitupun, cuaca panas ini berkemungkinan berlanjutan sehingga minggu pertama sambutan Aidilfitri,” katanya.
Bagaimanapun, Jing Xiang berkata, perubahan cuaca masih bergantung kepada sistem atmosfera semasa pada waktu tersebut.
Beliau berkata, cuaca boleh berubah dengan cepat berdasarkan indikator fenomena alam yang mungkin boleh berubah pada bila-bila masa.
“Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari sekiranya tidak mempunyai keperluan mendesak bagi mengelakkan risiko dehidrasi dan keletihan akibat cuaca panas.
“Mereka yang berpuasa pada Ramadan ini juga dinasihatkan memastikan pengambilan air mencukupi sewaktu berbuka dan bersahur,” tambahnya.














