fbpx
Kebaya warna teal blue dan strawberry matcha menjadi warna pilihan orang ramai sempena Aidilfitri 2026 ketika tinjauan di Kompleks PKNS, Shah Alam semalam.

‘Teal blue, strawberry matcha’ warna hangat raya 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Warna ‘teal blue’ iaitu biru kehijauan dan ‘strawberry matcha’, campuran warna merah jambu dan hijau pastel menjadi tema pilihan orang ramai untuk busana bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rona tersebut menjadi rebutan sehingga stok pakaian berwarna teal blue semakin berkurangan selain kebanyakan saiz juga telah habis dibeli pengunjung.

Seorang peniaga, Rosnah Ismail, 55, berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal dengan memperbanyakkan stok busana berwarna teal blue membabitkan baju kurung moden untuk dewasa dan kanak-kanak selain baju melayu lelaki selepas melakukan tinjauan di aplikasi TikTok mengenai warna yang bakal tular.

Dia yang telah 10 tahun berniaga di Kompleks PKNS di sini mengakui, orang ramai mula mencari busana berwarna teal blue sejak 31 Januari lalu.

“Dalam 10 pelanggan, sembilan daripadanya pasti akan mencari warna teal blue. Walaupun saya sudah buat persiapan lebih, stok tetap tidak mencukupi. Dari segi rekaan, pengunjung lebih memilih kebaya kerana dapat selendang percuma.

“Golongan muda pula lebih memilih strawberry matcha kerana mahukan kelainan dan tampil menawan. Selain dua warna ini, rich brown antara yang dicari oleh golongan ibu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang peniaga Tia Muhammad, 21, berkata, permintaan dua warna itu sangat luar biasa sehingga peniaga perlu menambah stok busana raya setiap hari bagi memenuhi permintaan.

Menurutnya, pelanggan mula datang seawal pukul 10 pagi dan baju melayu yang didatangkan dengan lengan tiga suku dengan leher teluk belanga menjadi pilihan untuk 1 Syawal.

“Semua baju berwarna teal blue memang jadi pilihan utama di mana kebanyakan pelanggan menyukai baju teluk belanga kerana bahagian leher yang lebih selesa bila dipakai,” katanya.

Selain itu, pembantu gerai, Farisha, 19, berpendapat, pengaruh influencer (pempengaruh) yang menetapkan tema warna tertentu di media sosial menjadi punca utama pelanggan FOMO (fear of missing out) untuk mengikuti trend tersebut.

“Untuk rekaan pula, kami ba­nyak mengeluarkan reka bentuk baju seperti kebaya dan mempunyai elemen yang bermotifkan bunga, namun ada juga memilih baju kurung moden,” katanya.

Pelajar universiti, Syamimi, 22, berkata, pemilihan teal blue bukan sekadar mengikut ‘trend’, tetapi kerana kualiti warna itu sendiri yang memperlihatkan diri lebih elegan dan tenang di pagi raya.

“Kebetulan warna ini memang tengah ‘trend’, jadi satu keluarga rancang untuk pakai warna yang sama supaya nampak seragam di pagi raya.

“Saya lebih suka rekaan kurung moden kerana walaupun nampak simple (ringkas), ia tetap nampak cantik dan sesuai dengan karakter warna teal blue yang kami pilih ini,” katanya.

Sementara itu, pengasas bersama sebuah jenama baju, Muhd. Firdaus Ahmad Kamal berkata, teal blue menampilkan kese­imbangan dan warna tersebut sesuai untuk pelbagai tona kulit dan mudah dipadankan untuk keluarga yang mahu tampil harmoni.

Katanya, bagi warna strawberry matcha pula, ia menunjukkan pengguna hari ini lebih berani untuk bereksperimen dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang segar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN