KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menafikan pihaknya pernah melantik mana-mana individu atau pihak ketiga untuk menguruskan pembekalan barangan pejabat menggunakan aplikasi WhatsApp.
MBK dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan bahawa terdapat syarikat pembekal dihubungi individu yang menyamar sebagai wakil MBK bagi mendapatkan bekalan pejabat.
Lebih membimbangkan, sindiket itu turut mengemukakan dokumen palsu seperti Surat Lantikan Vendor Percubaan dan Pesanan Kerajaan (Local Order) menggunakan cop dan tandatangan pegawai MBK yang dipalsukan.
“Semua urusan rasmi MBK hanya dijalankan melalui saluran rasmi iaitu surat rasmi berdaftar, e-mel rasmi MBK atau sistem ePerolehan Kerajaan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Sehubungan itu, MBK menasihatkan pembekal supaya membuat pengesahan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa tempatan itu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap arahan atau dokumen mencurigakan.
MBK memaklumkan pihaknya membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menyerahkan bukti berkaitan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE