fbpx

Percutian sekeluarga diserang monyet di Kuantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa dan keluarga cemas melihat monyet liar berada di atas kereta dan juga kawasan pokok berhampiran di Teluk Cempedak di sini, baru-baru ini.

KUANTAN – Percutian buat pertama kali sebuah keluarga selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan ke Pantai Teluk Cempedak di sini bertukar menjadi igauan ngeri apabila mereka ‘diserang’ sekumpulan monyet liar.

Kejadian pada kira-kira pukul 5.52 petang pada 8 November lalu itu menyebabkan mangsa, Norazimah Bunihan,33, dan keluarganya melalui detik mencemaskan apabila melarikan diri dalam ketakutan sehingga bayi mereka mengalami kecederaan akibat terjatuh.

Norazimah yang berasal dari Kluang, Johor berkata, dia bersama suami dan tiga anaknya mengambil peluang untuk bercuti di Kuantan dengan menginap di sebuah hotel berhampiran Pantai Teluk Cempedak selama dua malam.

Katanya, semasa kejadian dia dan suami serta tiga anaknya berjalan kaki ke kereta yang diletakkan bersebelahan hotel berkenaan bagi mengambil selipar untuk digunakan semasa berjalan di pantai.

Jelasnya, sebaik sahaja tiba berhampiran kereta mereka mula berasa cemas apabila melihat sekumpulan monyet liar di pokok serta memanjat kereta pengunjung yang diletakkan di situ.

“Belum sempat suami tiba di kereta ada seekor monyet yang agak besar terus mengejar dan ingin menerkam suami menyebabkan suami berlari ke arah hotel.

“Saya dan anak-anak menjadi panik dan kerana monyet liar berada di sebelah ‘stroler’ bayi, saya cuba melarikan diri dengan menolak ‘stroler’ sebelum bayi saya tersembam,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Norazimah akibat kejadian menyebabkan bayinya yang berusia 11 bulan mengalami luka dan lebam di bahagian muka dan dahi serta di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Katanya, meskipun luka dimuka bayi tidak serius dan tiada retakan di kepala namun kejadian itu memberikan trauma kepada mereka apatah lagi bayi berkenaan mempunyai penyakit sawan.

“Bayi saya dalam keadaan stabil walaupun kesan lebam dan luka masih ada lagi, kami perlu pantau keadaannya takut sawan dia bertambah teruk akibat kejadian,”katanya.

Sementara itu menurut kenyataan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kejadian berkenaan mendapat tindakan segera daripada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, susulan itu kawasan Telok Cempedak dan Bukit Pelindung ditutup sementara pada 11, 16, 18, 23 dan 24 November bagi operasi kawalan kera oleh Perhilitan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI