fbpx
Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla

Konvoi Global Sumud Flotilla dilindungi dibawah Konvensyen Geneva

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Undang-undang antarabangsa menegaskan bahawa orang awam termasuk yang terlibat dalam misi kemanusiaan ke Gaza adalah dilindungi di bawah Konvensyen Geneva.

Global Sumud Flotilla (GSF) dalam satu kenyataan media berkata, sebarang serangan terhadap misi itu boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kata GSF, tindakan itu juga melanggar perintah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mewajibkan Israel membenarkan serta memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sehubungan itu, GSF menuntut negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) khususnya yang mempunyai rakyat di atas kapal GSF segera memastikan perlindungan berkesan terhadap misi tersebut.

“Kami juga menggesa Perhimpunan Agung PBB sesi ke-80 membincangkan serangan ke atas flotilla dan meluluskan resolusi bagi menangani pelanggaran serius tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, GSF memaklumkan, sekurang-kurangnya 10 bot GSF yang sedang dalam pelayaran menuju ke Gaza menjadi sasaran objek dijatuhkan dari dron atau pesawat Israel.

Menurut GSF, objek tidak dapat dikenal pasti itu menyebabkan kerosakan terhadap sebahagian kapal dalam misi kemanusiaan tersebut.

“GSF berdepan peningkatan ancaman. Beberapa kapal melaporkan letupan telah disasarkan serta objek tidak dikenali dijatuhkan di atas dan berhampiran kapal.

“Menyebabkan kerosakan serius serta gangguan komunikasi yang meluas. Insiden ini berlaku susulan taktik ugutan berterusan dan penyebaran maklumat palsu oleh lsrael,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kata GSF, tiada kematian dilaporkan, manakala tahap kerosakan sedang dinilai sepenuhnya.

Kata GSF, Israel berterusan menyebarkan maklumat palsu bertujuan merosakkan imej serta membahayakan lebih 500 orang awam tidak bersenjata di atas flotilla.

“Israel terus menuduh GSF adalah flotilla Hamas serta mendakwa GSF merancang tindakan ganas.

“Dakwaan ini sebahagian daripada kempen maklumat palsu bagi mencari justifikasi untuk menyerang misi kemanusiaan,” kata GSF.

Jelas GSF, misi kemanusiaan tersebut membawa makanan dan bekalan perubatan ke Gaza bagi menuntut penamatan sekatan haram lsrael. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI