PETALING JAYA – Pengenalan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Akaun Fleksibel oleh kerajaan membantu sebahagian rakyat untuk menampung belanja bulanan, lebih-lebih lagi golongan yang terkesan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
Pada musim cuti sekolah, ibu bapa memerlukan wang tambahan untuk menghantar anak masing-masing mengikuti kelas tambahan, aktiviti luar selain membawa ahli keluarga bercuti sehingga menyebabkan ada sebilangan pencarum mengambil kesempatan mengeluarkan simpanan Akaun 3.
Bagi seorang ibu tunggal anak tiga di Cheras, Hawa Risya, 35, wang yang dikeluarkan setiap bulan digunakan untuk membeli barangan dapur dan membayar bil utiliti.
“Gaji yang diraih RM1,800 setiap bulan sebagai tukang cuci tidak mampu menampung keperluan semasa sekali gus memaksa saya keluarkan simpanan Akaun 3 secara berkala.
“Selepas bayar sewa rumah dan pengangkutan, baki yang tinggal memang tidak cukup. Akaun 3 ini sekurang-kurangnya membantu saya sediakan makanan untuk anak-anak.
“Memang membantulah lebih lagi-lagi pada waktu kecemasan. Bersyukur juga ada Akaun Fleksibel ini,” katanya.
Bagi Azman Rahim, 42, yang merupakan seorang pemandu e-hailing pula mengakui, musim cuti sekolah membuatkan kos petrol dan belanja meningkat kerana lebih banyak masa diluangkan bersama anak-anak.
Selain itu, ujarnya, Akaun Fleksibel menjadi penyelamat setiap bulan bagi menampung kos petrol dan selenggara kereta.
“Pendapatan saya tidak menentu. Ada hari bawa balik RM150, ada masa kurang daripada RM70. Bila harga barang naik, duit cepat habis. Saya tiada pilihan kecuali gunakan simpanan ini walaupun tahu ia sepatutnya untuk persaraan.
“Bila sekolah cuti, anak-anak nak berjalan, ada yang nak balik kampung. Kos minyak, tol semua bertambah,” ujarnya.
Noraini Mohamad, 50, pekerja kilang di Shah Alam, pula menggunakan wang itu untuk menampung kos pendidikan anak.
Malah katanya, apabila tiba musim cuti sekolah atau semester, belanja tambahan diperlukan kerana meningkatnya perbelanjaan makanan dan lain-lain.
“Saya ada dua anak di universiti. Duit belanja mereka sahaja kadang-kadang mencecah lebih RM1,000 sebulan.
“Apabila anak-anak balik bercuti, kos makan di rumah bertambah. Tambah pula mereka ada kelas khas untuk semester pendek. Kalau harap gaji kilang saya, memang tak cukup. Saya terpaksa korek simpanan Akaun 3,” katanya.
Sebelum ini, seramai 4.63 juta pencarum KWSP membuat pengeluaran melalui Akaun Fleksibel atau Akaun 3 bernilai RM14.79 bilion sejak pengenalan akaun itu pada Mei tahun lalu.
Kementerian Kewangan berkata, jumlah itu membabitkan 35 peratus daripada jumlah keseluruhan 13.2 juta ahli di bawah usia 55 tahun setakat 30 Jun lalu.
“Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula sebanyak RM10.16 bilion,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Pada 4 Mac lalu, Kosmo! melaporkan, sebilangan pencarum KWSP terpaksa mengeluarkan duit mereka melalui Akaun 3 atau Akaun Fleksibel untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE















