BARU-BARU ini, saya berpeluang menghabiskan lima hari empat malam di Da Nang, Vietnam.
Perjalanan ini cukup bermakna kerana selain menikmati keindahan bandar pesisir pantai, saya juga bertemu seorang pemandu yang banyak membantu sepanjang berada di sana.
Sebelum berangkat, saya menyertai beberapa kumpulan pelancongan di media sosial dan menghubungi hampir sepuluh pemandu untuk membuat perbandingan harga.
Akhirnya, pilihan saya jatuh kepada Hoang. Pakej yang ditawarkan menepati bajet dan meliputi lokasi yang dirancang, manakala kenderaan Hyundai tujuh tempat duduk yang baru sebulan dibeli selesa dan sesuai untuk perjalanan sekeluarga.
Yang lebih meyakinkan, pembayaran hanya dibuat selepas trip selesai tanpa perlu deposit.
Walaupun Hoang tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, komunikasi tetap lancar menggunakan Google Translate.
Lama-kelamaan, Hoang bukan sekadar pemandu tetapi menjadi sahabat baharu yang ikhlas membantu.
Keunikan Da Nang ialah semua berada dalam satu tempat iaitu laut, pantai, tanah tinggi dan pulau-pulau indah semuanya dekat dan mudah diakses. Pengalaman menikmati keindahan alam semula jadi di satu lokasi memang sukar dilupakan.
Antara pengalaman paling menarik ialah di Coconut Village, kami menaiki basket boat iaitu aktiviti popular dalam kalangan pelancong.

Harga sebuah bot sekitar 600,000 VND (RM95.40) jadi kami mengambil dua buah jumlahnya 1.2 juta VND atau kira-kira RM200.
Perjalanan 45 minit menyusuri anak sungai yang tenang dikelilingi pokok nipah amat mendamaikan.
Bagi yang berani, ada versi ekstrem yang memusing bot laju seakan roller coaster tetapi saya memilih untuk menikmati suasana tenang. Destinasi lain yang tidak boleh dilepaskan ialah Ba Na Hill tempat yang membuat kita rasa seperti berada dalam dunia lain.
Dari bawah lagi perjalanan naik kereta kabel sudah cukup menakjubkan terapung di udara sambil kabus putih menyelimuti hutan pemandangan gunung-ganang terbentang luas.
Sampai di atas suasananya seolah-olah di kota Eropah lama, jalan berbatu, bangunan klasik, taman bunga berwarna-warni dan udara dingin yang segar membuatkan setiap langkah terasa istimewa.
Paling ikonik tentulah Golden Bridge, jambatan emas yang dipegang oleh dua tangan gergasi.
Di sini pemandangan Da Nang dari ketinggian memang menakjubkan dan waktu pagi cahaya matahari memantul pada jambatan memberikan suasana seperti dalam filem. Selain bergambar, Ba Na Hill juga menawarkan taman tema persembahan budaya restoran dengan pelbagai pilihan makanan dan suasana malam yang penuh magis. Bagi penginapan kos hotel di sini jauh lebih murah berbanding Malaysia.

Dua malam pertama saya menginap di The Leaf Hotel berhadapan pantai dengan kolam renang dan sarapan harga RM330.Malam berikutnya berpindah ke Ponte Villa Boutique RM475 untuk dua malam dekat dengan pekan dan mudah ke pasar malam. Secara purata kos penginapan tidak lebih RM100 seorang setiap malam.
Bagi saya hotel hanya tempat untuk tidur dan berehat lebih utama ialah masa untuk menjelajah dan menikmati pemandangan. Bagi yang suka membeli-belah, Han Market adalah tempat yang mesti dikunjungi.
Barangan di sini jauh lebih murah berbanding Malaysia tetapi kena pandai tawar-menawar untuk mendapatkan harga terbaik.
Bagi pencinta pulau dan aktiviti air Cham Island sekitar 15 kilometer dari pantai Cua Dai Hoi An kira-kira satu jam dari Da Nang adalah destinasi yang wajib. Pulau ini diiktiraf di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Ia terkenal dengan pantai putih bersih terumbu karang dan kehidupan laut yang kaya.
Aktiviti menarik termasuk snorkeling, selam skuba, lawatan kampung nelayan, pasar kecil Champa Temple dan Hai Tang Pagoda. Kos anggaran sehari termasuk bot makan dan snorkeling sekitar 600,000 hingga 800,000 VND kira-kira RM115 hingga RM150. Keseluruhannya perjalanan ke Da Nang meninggalkan kenangan indah.
Dari Coconut Village yang unik, Ba Na Hill dan Golden Bridge yang magis, Cham Island yang menenangkan serta keunikan alam semula jadi membuatkan saya ingin kembali lagi.















