KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang bertindak proaktif dalam menghasilkan Belanjawan 2026 apabila turut mendapatkan maklumat daripada masyarakat akar umbi melalui Tinjauan Belanjawan Negeri Pahang 2026.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tinjauan berkenaan memberi ruang rakyat Pahang untuk mengemukakan cadangan dan pandangan demi memastikan Belanjawan 2026 benar-benar menepati keperluan rakyat serta membawa negeri kita ke arah yang lebih makmur dan sejahtera.
“Meskipun Retreat Belanjawan Negeri Pahang 2026 telah selesai tetapi ia bukanlah muktamad kerana masih ada lagi sesi-sesi pemurnian yang harus dilakukan selepas ini sehinggalah belanjawan ini dibentangkan hujung tahun ini.
“Untuk itu saya menjemput semua rakyat Pahang untuk turut serta berkongsi idea melalui pautan https://esurvey.pahang.gov.my,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa mendengar suara rakyat dan belanjawan Pahang 2026 adalah untuk semua rakyat negeri ini. – KOSMO! ONLINE