fbpx
PYKA memulakan hobi mewarna sejak Ogos tahun lalu yang kini menjadi sumber pendapatannya.

Mewarna terapi tenangkan fikiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI satu sudut tenang dalam kediamannya, seorang wanita kelihatan khusyuk menunduk di atas meja kecilnya.

Bukan dengan komputer riba atau buku kerja tetapi dengan pen warna dan helaian kertas bercorak bunga yang masih belum lengkap diwarnai.

Setiap garisan dilakar dengan teliti, setiap tona dipilih dengan hati-hati, seolah-olah dunia di sekelilingnya hilang, digantikan dengan rasa yang cukup menenangkan.

Hobi mewarna yang sering dikaitkan dengan kanak-kanak, kini menjadi ruang pelarian baharu bagi Syafiqah Huda Rahmat.

Dalam kehidupan moden yang serba sibuk dan penuh tekanan, aktiviti sederhana itu bukan sahaja membawa rasa nostalgia, malah terbukti membantu meredakan stres, mengasah fokus serta membuka pintu kepada ekspresi diri.

Berkongsi dengan K-Remaja, wanita berusia 20-an yang mesra disapa sebagai Pyka itu berkata dia mula terjebak dengan hobi itu sejak Ogos tahun lalu.

“Pada mulanya, saya merupakan affiliate bagi produk buku mewarna memandangkan saya tidaklah begitu pandai mewarna. Namun, lama-kelamaan, ia bertukar menjadi hobi.

“Setiap kali saya bersiaran langsung di platform TikTok, penonton bukannya mahu membeli tetapi mahu melihat saya mewarna,” katanya ramah.

Tambah anak kelahiran ibu kota itu, dia menyifatkan mewarna sebagai satu hobi yang cukup santai. Boleh dibuat di mana sahaja, bahkan ia juga cukup mudah.

Pyka juga mengakui mewarna membantu mengurangkan tekanan dalam diri, memandangkan setiap kali dia mencapai pen dan mula mewarna, mindanya menjadi fokus lalu mampu melupakan masalah lain.

“Saya mewarna sambil buat ‘live’ di TikTok, jadi sambil mewarna, saya akan berbual dengan penonton dan rakan-rakan di platform itu.

“Tanpa sengaja, ia juga menjadi masa saya bersosial dengan mereka,” katanya.

Pyka turut menganggap mewarna sebagai masa dia bersama dirinya sendiri, umpama satu terapi ringkas merawat diri.

ANTARA karya mewarna yang dihasilkan oleh Pyka.

Kongsi Pyka, dia akan mewarna lima hari dalam seminggu.

Ujarnya lagi, banyak antara karya siap diwarnakan menjadi kegemarannya.

“Kalau ikutkan karya mewarna yang saya hasilkan ada banyak yang boleh dibanggakan. Tapi mungkin yang paling istimewa adalah apabila saya berjaya menghasilkan buku mewarna sendiri.

“Sampai sekarang pun rasa macam tak percaya, sebab siapa sangka hobi kecil ini boleh membawa kepada sebuah karya yang benar-benar menjadi milik saya,” katanya sambil menambah buku mewarna miliknya boleh dibeli menerusi platform TikTok @pykarahmat.

Pyka mengakui, hobi mewarna sering dikaitkan dengan kanak-kanak. Namun, bagi dirinya dan ramai orang dewasa lain, ia kini menjadi satu ruang baharu untuk menenangkan fikiran.

“Selalu kita tengok budak-budak sahaja yang mewarna kan? Kali ini hobi mewarna orang dewasa pula yang ambil alih.

“Dulu masa kecil, kita tidak mampu untuk membeli barang-barang mewarna.

“Jadi bila sudah dewasa dan ada kesempatan, kita lunaskan ‘inner child’ yang lama terpendam tu,” ujarnya.

Menariknya, aktiviti ini bukan sekadar hobi untuk mengisi masa lapang. Ia juga boleh menjanjikan peluang rezeki.

“Cubalah mewarna sekarang. Dari sekadar hobi atau suka-suka, ia boleh mendatangkan pendapatan juga.

“Macam saya, dari minat akhirnya berjaya hasilkan buku sendiri. Kiranya sambil menyelam, minum air,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN