fbpx
THE menerusi Ranking Universiti Dunia Bagi Subjek Undang-Undang 2025 menyaksikan empat universiti di Malaysia berada dalam senarai dengan diungguli UKM di tempat pertama, diikuti UM kedua, UUM ketiga dan UiTM keempat.

4 universiti Malaysia paling ‘pakar’ undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di Malaysia, program undang-undang ditawarkan di beberapa universiti, bahkan ada antaranya diiktiraf sebagai antara terbaik di dunia.

Empat universiti di negara ini berada dalam senarai Times Higher Education (THE) bagi Ranking Universiti Dunia Untuk Subjek Undang-Undang 2025.

Di sini K-Kampus menyenaraikan empat universiti tersebut berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh THE itu dan mengupas kelebihan masing-masing.

1- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Program undang-undang di UKM berada pada kedudukan pertama di Malaysia dengan berada dalam kelompok ranking 101 hingga 125 di dunia.

Dekan Fakulti Undang-Undang UKM, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid berkata, kejayaan berada di puncak ranking tersebut adalah hasil gabungan beberapa faktor.

Menurutnya, pertama mereka memiliki barisan pensyarah terdiri daripada tokoh akademik, pakar perundangan dan bekas pengamal undang-undang yang berwibawa.

“Hal ini memastikan kualiti pengajaran dan penyelidikan sentiasa berada pada tahap tertinggi serta relevan dengan keperluan semasa industri dan masyarakat.

“Kedua, kejayaan ini didorong oleh kegiatan penyelidikan dan penerbitan ilmiah yang aktif dalam pelbagai bidang perundangan, termasuk hak asasi manusia, undang-undang alam sekitar, perlembagaan dan undang-undang Islam,” katanya.

DR. RASYIKAH

Tambahnya, kebanyakan penerbitan buku adalah dalam bahasa Melayu kerana komitmen mereka terhadap pemerkasaan bahasa kebangsaan.

Selain itu, pelajar Fakulti Undang-Undang UKM sering cemerlang dalam pertandingan debat, perbahasan perundangan dan pertandingan mut atau moot (mock court atau perbicaraan olok-olok) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Malah, pelajar di fakulti itu juga menduduki tempat ke-11 dunia daripada 800 pasukan dari seluruh dunia pada Pertandingan Philip Jessup Moot Competition 2025 yang berlangsung di Washington, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Ini membuktikan kualiti pelajar dan kekuatan latihan akademik yang mereka terima.

Mengulas lanjut kelebihan program undang-undang di UKM, Rasyikah menjelaskan, fakulti memberikan penekanan kepada kurikulum yang seimbang antara teori dan amalan.

Ini termasuk pendedahan kepada kemahiran praktikal melalui klinik latihan bantuan guaman (KLBG), advokasi, latihan industri dan kerjasama strategik dengan agensi perundangan seperti mahkamah, firma guaman serta badan kerajaan.

Pendekatan ini melahirkan graduan yang mahir dari segi teori dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.

2- Universiti Malaya (UM)

Bagi program undang-undang, UM berada di kedudukan kedua di Malaysia iaitu pada ranking 151 hingga 175 dunia.

Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Prof. Dr. Jason Chuah berkata, peningkatan kedudukan dalam carta antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah dicapai.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menjadikan Fakulti Undang-Undang UM mampu mencapai pencapaian sebegini.

“Faktor paling penting ialah penyelidikan. Tanpa penyelidikan, sesebuah universiti tidak lebih daripada hanya sebuah sekolah.

“Tumpuan terhadap bidang penyelidikan yang kritikal dan terkini membolehkan pensyarah memperoleh geran penyelidikan, dilantik menyertai projek reformasi undang-undang serta menerbitkan kajian dalam jurnal bertaraf antarabangsa,” katanya.

DR. JASON

Tambahnya, penerbitan dalam jurnal berprestij bukan saja membolehkan ilmu disebarkan kepada khalayak global, malah turut meningkatkan profil Fakulti Undang-Undang UM.

Namun begitu, fakulti juga berhasrat untuk menjadi pilihan utama pelajar undang-undang di Malaysia.

Ini disasarkan dengan menjadikan pendidikan undang-undang yang ditawarkan berasaskan penyelidikan.

Bermakna, kurikulum tidak hanya bergantung pada buku teks, sebaliknya disampaikan melalui pendekatan berteraskan penyelidikan terkini dan canggih dalam bidang undang-undang.

Kata Jason, penekanan terhadap kesarjanaan inilah yang membezakan Fakulti Undang-Undang UM daripada yang lain.

“Universiti lain mungkin menumpukan kepada pengajaran undang-undang untuk kefahaman dan pengamalan.

“Namun di UM, selain kemahiran asas tersebut, pelajar juga digalakkan berfikir secara kritikal, berfikir secara logik, mempersoalkan kuasa undang-undang serta memahami konteksnya,” jelasnya.

Matlamatnya adalah melahirkan pelajar yang mempunyai semangat mendalam terhadap keluhuran undang-undang.

3- Universiti Utara Malaysia (UUM)

Pencapaian UUM berada di kedudukan ketiga di Malaysia serta kelompok ranking 176 hingga 200 di dunia untuk program undang-undang menjadi sesuatu yang dibanggakan.

Ini kerana program undang-undang di UUM masih ‘muda’ berbanding universiti lain dan mula ditawarkan di universiti tersebut pada 2003.

Penolong Naib Canselor Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa yang juga Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, bagi program undang-undang, mereka memiliki lebih 40 pensyarah dan hampir 95 peratus memiliki PhD dengan kepelbagaian bidang.

“Kita ada pensyarah-pensyarah yang berkebolehan dalam aspek akademik dan bidang-bidang yang kita sasarkan.

“Untuk kursus-kursus tahun akhir kita juga akan menjemput ‘practitioners’ ataupun peguam-peguam yang memiliki pengalaman 10 tahun ke atas untuk menjadi pensyarah secara separuh masa, selain itu mereka juga sering berkongsi pengalaman dengan pelajar tahun pertama hinggalah tahun akhir.

“Selain tenaga akademik, kekuatan kami juga melibatkan penglibatan penyelidikan dan penerbitan yang berkualiti serta kolaborasi bersama agensi-agensi seperti Jabatan Peguam, Mahkamah Malaysia dan lain-lain,” katanya.

DR. HARLIDA

Dalam pada itu, apa yang membezakan UUM dengan institusi pengajian yang lain adalah kerana lebih dikenali sebagai universiti pengurusan.

Oleh itu, pelajar undang-undang di UUM mempunyai nilai tambah kerana mereka juga turut mengambil subjek seperti perakaunan, perniagaan dan lain-lain yang menjurus kepada aspek pengurusan.

“Ini akan memberi nilai tambah dari aspek pengurusan kepada pelajar undang-udang di UUM.

“Malah, ia berguna untuk kerjaya mereka terutama mereka yang ingin membuka firma guaman sendiri,” jelas Harlida.

4- Universiti Teknologi Mara (UiTM)

UiTM berada pada kedudukan keempat terbaik di Malaysia dan kelompok ranking ke 301 ke atas di dunia.

Dekan Fakulti Undang-Undang UiTM, Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat berkata, Fakulti Undang-Undang UiTM telah ditubuhkan pada tahun 1968 dan fakulti menawarkan program pada dua peringkat utama iaitu program sarjana muda dan pascasiswazah.

DR. NUR EZAN

Menurutnya, program-program ini dirangka untuk melahirkan graduan undang-undang yang berdaya saing, sama ada untuk menyertai profesion guaman, perkhidmatan kehakiman, sektor awam mahupun industri swasta.

“Fakulti mempunyai barisan tenaga akademik berkelayakan tinggi, berpengalaman industri serta berdaftar dengan badan profesional.

“Selain itu, jaringan alumni dan kerjasama erat dengan pelbagai agensi serta industri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa turut menjadi pemacu utama kepada pencapaian yang dicapai UiTM,” kata Nur Ezan.

Baginya, kekuatan utama Fakulti Undang-Undang UiTM ialah keseimbangan antara teori dan amalan. Selain kurikulum akademik yang kukuh, fakulti dilengkapi dengan kemudahan unik seperti Klinik Bantuan Guaman, tiga

Mahkamah Moot termasuk e-Moot, bilik firma guaman serta perpustakaan undang-undang yang khusus.

“Pelajar-pelajar tahun akhir ditempatkan dan belajar di bilik-bilik simulasi firma guaman sebagai latihan praktikal dan persediaan sebelum masuk ke dunia pekerjaan.

“Tambahan pula, hubungan erat dengan alumni dan industri menyediakan ruang mentorship, internship, kerja-kerja komuniti dan peluang kerjaya,” jelas Nur Ezan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN