fbpx
KEDIAMAN terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini mengangkat tema rustic farmhouse.

Rustic farmhouse suntik elemen Melayu, nusantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUAH kediaman bercirikan tradisional Melayu bukan sahaja sarat dengan elemen dekorasi Nusantara tetapi mempunyai daya tarikan tersendiri di sebalik hiasan bertemakan rustic farmhouse. 

Konsep farmhouse biasanya sinonim dengan suasana ladang gaya Barat, rumah kampung (kampung house) pula mengekalkan jiwa desa dengan hiasan barang antik dan susun atur yang mesra budaya.

Terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kediaman yang diberi nama Kampung House milik Norpadilah Afandi, 43, pada asalnya ialah rumah kampung separa batu dan kayu. 

Namun, selepas melalui ubah suai kira-kira 13 tahun lalu, strukturnya kini berubah kepada 100 peratus binaan batu. Walaupun begitu, Norpadilah tetap mengekalkan aura kampung menerusi pemilihan perhiasan dan perabot dengan teliti agar dapat menyerlahkan pesona di setiap ruang. 

Rona putih menjadi pilihan kediaman ini yang boleh dianggap sebagai ‘latar utama’ dinding di bahagian utama iaitu ruang tamu dan dapur. 

“Ruang tengah rumah menjadi cabaran terbesar untuk saya melakukan dekorasi memandangkan rumah ini berkonsepkan ruang terbuka. 

“Saya juga menerapkan konsep lakukan sendiri (DIY) terutama pada perhiasan rumah dan proses itu mengambil masa yang agak lama untuk melengkapkan setiap satu ruang,” katanya kepada CitaRasa. 

Menurut Norpadilah, minatnya terhadap aktiviti DIY bermula sekadar ingin mencuba, sekali gus melengkapkan ruang rumah yang kosong selepas proses ubah suai. Daripada perabot hingga aksesori kecil, hampir semuanya dihasilkan sendiri dengan menggunakan bahan kitar semula menjadikan setiap sudut rumah sarat dengan cerita dan nilai usaha sendiri.

RUMAH kampung mengekalkan jiwa desa dengan hiasan barang antik dan susun atur yang mesra budaya.

“Sama ada perabot lama dan terpakai, saya juga akan membuat kelengkapan DIY yang sesuai dengan tema farmhouse tetapi turut diselitkan elemen Melayu dan nusantara.

“Saya akan pastikan setiap ruang mempunyai daya tarikan signatur yang memberikan kelainan antara konsep farmhouse biasa dengan dekorasi rumah kampung” ujarnya yang juga pereka kandungan dengan nama akaun Instagram norpadilahdiycrafter.

Selain projek DIY, koleksi barangan antik seperti mangkuk tingkat, mesin jahit, mesin taip dan pinggan mangkuk peninggalan arwah ibunya turut menghiasi kediaman itu yang memberi nilai sentimental.

Tidak terkecuali, hadiah daripada kenalan terdekat yang ingin melihat pembelian mereka digunakan dan dipamerkan di Kampung House sekali gus menjadi tanda kenang-kenangan. 

Kampung House bukan sekadar sebuah rumah tetapi juga cerminan perjalanan pemiliknya dalam menzahirkan kreativiti dengan menghasilkan sendiri perhiasan secara DIY. 

SENTUHAN warna putih membuatkan kediaman menjadi lebih luas dan kemas.

Tanpa perlu mengeluarkan belanja banyak, Norpadilah menggunakan bahan kitar semula seperti botol kaca, botol plastik dan perabot terpakai untuk diubah menjadi lampu lantai, lampu dinding, lampu siling, pasu bunga, bekas simpanan barangan mahupun barangan dengan fungsi praktikal seperti tempat penyangkut baju. 

Tanpa perlu berbelanja mewah atau mengeluarkan bajet besar, Norpadilah sebaliknya tampil dengan cara sederhana, namun tetap penuh gaya dan pesona tersendiri. 

“Sejak awal berjinak-jinak dengan hobi dekorasi, belum pernah lagi menukar tema dekorasi rumah, cuma agak kerap bertukar susun atur perabot kerana projek DIY sentiasa berjalan dari semasa ke semasa. 

“Dengan kata mudah, setiap sudut dalam rumah merupakan ruang untuk saya bereksperimen dengan hobi DIY, sekali gus menjadi ‘makmal kecil’ di rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN