MARANG – Inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melakukan caruman Skim Lindung Kendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada nelayan memberi makna besar enam beradik yang kehilangan ibubapa akibat insiden bot terbalik di perairan Kuala Merchang di sini pada akhir bulan lalu.
Mereka termasuk tiga yang masih bergelar pelajar menerima manfaat faedah orang tanggungan (FOT) Skim Lindung Kendiri bagi membantu kelangsungan hidup selepas bergelar yatim piatu.
Pengarah Perkeso Terengganu, Suhara Mustaffa berkata, Nur Nadhirah Abdul Rahim, 26, juga layak menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000.
“Semakan Perkeso mendapati bapa mereka, Abdul Rahim Mustaffa, 47, yang terkorban dalam tragedi tersebut bersama isterinya, Norhasriah Che Osman, 46, merupakan pencarum aktif tajaan LKIM.
“Tiga anak Allahyarham yang masih belajar iaitu Nur Nazirah, 15; Nur Najihah, 16; dan Muhammad Haziq, 19, akan menerima FOT berjumlah RM850 sebulan,” katanya ketika menyantuni rumah keluarga tersebut di Kampung Pulau Kerengga di sini hari ini.
Kosmo! 2 September lalu melaporkan Abdul Rahim yang merupakan nelayan tradisional maut bersama isterinya, Norhasriah setelah bot fiber dinaiki mereka terbalik sewaktu sedang menangkap ikan di perairan Kuala Merchang.
Suhara berkata, tiga beradik tersebut akan menerima FOT skim terbabit sehingga berusia 21 tahun atau sehingga menamatkan pengajian pada peringkat ijazah pertama manakala
Nur Nazirah dan Nur Najihah juga akan diambil menjadi sebahagian anak angkat Perkeso Terengganu.
Sementara itu, Nur Nabilah, 23, yang merupakan anak ketiga pasangan terbabit berkata, mereka adik-beradik kadang-kala sayu terkenangkan kelunakan suara ibu membaca al-Quran
setiap kali maghrib. – KOSMO! ONLINE