NEW YORK – Jannik Sinner terpaksa akur kehilangan gelaran Terbuka Amerika Syarikat (AS), takhta No. 1 dunia serta rekod 27 kemenangan berturut-turut di gelanggang keras Grand Slam selepas tunduk 2-6, 6-3, 1-6, 4-6 kepada Carlos Alcaraz dalam aksi final semalam.
Lebih daripada sekadar kekalahan, apa yang mencuri tumpuan adalah sikap matang dan jiwa besar yang dipamerkan bintang Itali berusia 24 tahun itu di hadapan penyokong New York.
“Pertama sekali, saya mahu ucap tahniah kepada Carlos (Alcaraz) dan seluruh pasukannya. Anda lakukan sesuatu yang luar biasa, tahniah… ini momen hebat,” kata Sinner sejurus tamat perlawanan.
Kekalahan tersebut sekali gus mengesahkan Roger Federer masih menjadi pemain terakhir yang berjaya mempertahankan gelaran lelaki Terbuka AS pada 2008.
Pertemuan kelima antara kedua-dua seteru utama musim ini, termasuk tiga final Grand Slam, menyaksikan Alcaraz terus mendominasi dengan kelebihan 10-5 dalam rekod pertemuan mereka.
Sinner juga tidak lari daripada menilai kelemahan sendiri apabila mengakui permainannya terlalu mudah dibaca, selain menerima kehilangan status No. 1 dengan hati terbuka.
“Kini terpulang pada saya untuk buat perubahan, cuba jadi pemain yang tidak dapat dijangka. Itu yang perlu dilakukan untuk jadi lebih baik. Kini saya bukan lagi nombor satu, jadi keadaannya berbeza, saya perlu mengejar. Kita lihat apa yang akan berlaku nanti,” ujarnya.
Meskipun gagal mempertahankan mahkota, Sinner tetap menutup musim 2025 dengan pencapaian luar biasa apabila mara ke semua empat final Grand Slam dan membawa pulang dua kejuaraan utama. – AGENSI














