fbpx
MALAYSIA terpaksa akur gagal melangkah ke peringkat empat terakhir selepas tewas 0-5 kepada Korea Selatan semalam. - MHC

Malaysian Tigress buru lima terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Harapan skuad hoki wanita kebangsaan mara ke pusingan Super 4 Piala Asia 2025 lebur selepas tunduk 0-5 kepada Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gongshu Canal Sports Park, Hangzhou, China semalam.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysian Tigress sekadar menamatkan peringkat kumpulan di tangga ketiga sekali gus terpaksa beraksi dalam klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.

Pasukan bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu akan membuka cabaran penentuan kedudukan menentang Singapura hari ini dengan tekad untuk menamatkan kempen sekurang-kurangnya di tempat kelima terbaik.

Mengulas kekalahan itu, Nasihin mengakui beberapa kesilapan mudah membuka ruang kepada lawan untuk menghukum benteng pertahanan Malaysia.

“Kita bermain dari bawah dengan baik tetapi memberi mereka ruang semasa cuba bermain secara ‘build up’ dan terlalu banyak membuat kesilapan dalam melakukan hantaran.

“Korea Selatan mempunyai kelajuan yang tinggi dan mereka menggunakan kelebihan itu untuk menghukum pertahanan kita menerusi serangan balas pantas,” katanya.

Nasihin turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pengadil yang merugikan pasukan apabila Malaysia sepatutnya diberikan dua lagi pukulan sudut penalti.

Menentang Singapura, Nasihin mahu para pemainnya melupakan kekecewaan lalu dan bangkit ke prestasi terbaik selepas memulakan kempen dengan kekalahan besar 0-8 kepada China sebelum kembali garang membelasah Taiwan 11-1 dalam dua aksi sebelum itu.

Pencapaian terbaik skuad wanita negara dalam sejarah Piala Asia adalah tempat ketiga pada edisi Seoul 1985. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN