BESUT – Institut Kemahiran Mara (IKM) Besut membangunkan tiga projek berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bagi membantu pemain Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seluruh negara memperkukuh lagai pemasaran produk dan perkhidmatan mereka secara digital.
Pengarah IKM Besut, Ir. Abdul Athar Ibrahim berkata, ketiga-tiga projek tersebut dibangunkan Jabatan Komputer institut kemahiran terbabit bagi memudahkan usahawan tempatan menembusi pasaran yang lebih luas, menjimatkan kos, serta meningkatkan keberkesanan operasi perniagaan.
Beliau berkata, ketiga-tiga projek terbabit ialah Cloud-Hosted Instant Web Deployment System, WhatsApp AI Bot dan Service and Complaint Management System.
“Cloud-Hosted Instant Web Deployment System ialah sistem pintar yang mampu menghasilkan laman web secara automatik hanya dengan memuat naik katalog atau bahan promosi.
“Sistem ini menjana subdomain unik untuk dikongsi bersama pelanggan, rakan kongsi atau pelabur, sekali gus membolehkan usahawan memasarkan produk dengan pantas dan profesional,” katanya selepas menghadiri Program Bizlink Netpreneurs@IKM Besut di sini hari ini.
Program dua hala membabitkan 14 usahawan Mara Terengganu dan 165 pelajar tahun akhir IKM Besut tersebut dirasmikan Pengarah Mara Terengganu, Mohd. Farris Radzuan.
Abdul Athar berkata, projek WhatsApp AI Bot pula dibangunkan untuk memudahkan komunikasi dua hala antara usahawan dan pelanggan tanpa perlu bergantung kepada pekerja sepenuh masa.
Beliau berkata, projek ketiga, Service and Complaint Management System pula membolehkan pelanggan menghantar aduan dan memantau status pembaikan, manakala usahawan dapat mengurus staf, tugasan, bil serta laporan dalam bentuk Format Dokumen Mudah Alih (PDF). – KOSMO! ONLINE