Sebagai seorang aktif silat, semangat kemelayuan diterap pada cara berpakaian.

Aktif silat, Fad Anuar sarat nilai kemelayuan dalam penampilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBIJAKSANAAN dalam soal tatarias penting kerana setiap gaya busana, rona dan corak ibarat baris aksara yang berbicara tentang pesona si pemakai.

Begitu yang cuba diterapkan pada setiap pakaian pilihan pelakon Fad Anuar terutama ketika muncul di acara rasmi seperti malam gala mahupun anugerah.

Pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu percaya sentuhan magis dalam penampilan mampu menonjolkan identiti tanpa perlu berkata apa-apa.

Busana Melayu klasik sering menjadi pilihan jejaka berusia 36 tahun itu kerana mempunyai lambang jati diri selain membuatkan diri lebih yakin di depan khalayak.

“Bagi saya penghayatan terhadap busana tradisi itu lahir daripada jiwa yang akrab dengan nilai kemelayuan. Sebagai seorang yang aktif dalam seni silat, saya percaya semangat Melayu itu dapat juga diterapkan dengan cara berpakaian.

“Walaupun tidak dipakai sepasang, tetapi bahagian atas baju saya cuba untuk masukkan elemen baju Melayu sebenar yang mempunyai pesak dan kekek.

“Bagi memberikan sentuhan lebih segar, saya akan gabungkan elemen tradisional dengan moden seperti menggayakan dengan seluar jean, seluar chino dan sneakers (kasut sukan) serta jam tangan pintar agar dapat seiring dengan peredaran masa,” katanya kepada CitaRasa.

Hasil sentuhan itu bukan sahaja membuatkan penampilan Fad kelihatan lebih santai dan kontemporari, tetapi sarat dengan simbol budaya.

Bukan saja kecintaannya terhadap busana Melayu, bahkan Fad turut menjadikan kata-kata bintang legenda negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai pembakar semangat agar tidak malu untuk berbaju Melayu di acara rasmi.

“Saya ada membaca tentang kata-kata beliau ketika memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Tokyo, Jepun (Festival Filem Asia ke-10 pada 1963), beliau berkata: Dengan berpakaian Melayu saya tidak perlu memperkenalkan diri saya berbangsa apa.

“Apa yang dikatakan beliau itu jelas menunjukkan semangat jati diri bukan sahaja ditonjolkan secara fizikal, tetapi dengan cara kita berpakaian.

“Sesekali saya akan memakai baju Melayu lengkap bersama tanjak dan dokoh, namun bergantung kepada tahap kesesuaian majlis itu juga,” ujarnya penuh semangat.

Meskipun optimis dengan penampilan sebegitu, Fad bagaimanapun masih gemar tampil bergaya santai dengan padanan seluar jean dan kemeja-T.

Bukan saja membuatkan dirinya tampil sederhana, tetapi gaya sebegitu membuatkan pelakon drama Hati Yang Tersakiti tersebut kelihatan lebih santai dan seiring dengan pesona seorang selebriti.

“Memang saya suka gaya kemelayuan, tetapi apabila habiskan masa di luar rumah, saya suka pilih seluar jean bersama kemeja-T kerana bagi saya, ia mudah dipadankan dan cepat.

“Saya sangat suka pakai seluar jean kerana mudah untuk dipadankan dengan pelbagai gaya dan warna baju.

“Lagi pun, ini pilihan paling mudah dan cepat untuk lelaki bersiap,” katanya berseloroh.

Pada masa sama, anak saudara kepada aktor prolifik, Eman Manan itu juga mempunyai jenama baju Melayu miliknya iaitu Setangan.

Telah diusahakan sekitar empat tahun lalu, jenama Setangan mengetengahkan baju Melayu dengan sentuhan klasik yang sesuai untuk digayakan pada masa kini.

“Ada beberapa koleksi seperti baju Melayu (sepasang atau atau baju sahaja), tanjak dan kain semutar dengan pelbagai pilihan corak serta warna mengikut pilihan masing-masing.

“Saya memilih nama Setangan kerana ia merupakan perkataan Melayu lama oleh masyarakat di Terengganu yang bermaksud tanjak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN