PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menjangkakan akan menerima lebih banyak ‘gangguan’ daripada tentera Israel apabila kapal mulai bergerak ke Gaza, Palestin.
Pengasas Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri berkata, pelayaran kesemua kapal telah pun memasuki Tunisia pada pukul 9 malam tadi (waktu tempatan).
Beliau berkata, perjalanan menuju ke Tunisia dijangkakan akan berjalan lancar namun selepas bergerak ke Gaza barulah cabaran sebenar akan bermula.
“Akan ambil masa lebih kurang 10 hari untuk sampai ke Gaza dan sepanjang perjalanan tu pada bila-bila masa Israel boleh buat kacau atau memintas kita.
“Kita jangka akan ada banyak gangguan nanti. Antaranya dron yang akan dihantar secara kerap untuk ganggu kapal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Bagaimanapun Ahmad Musa berkata ia tidak akan mematahkan semangat seluruh sukarelawan untuk meneruskan misi sehingga sampai ke bumi Gaza.
“Semalam pun ada ribut. Ada sukarelawan yang mabuk laut, muntah-muntah. Tetapi semua masih kuat dan bersemangat mahu teruskan pelayaran,” katanya.
Beliau berkata, misi tersebut disertai seramai 15 rakyat Malaysia manakala 15 lagi akan sertai pelayaran dari Itali.
“Teruskan semua bercakap tentang misi ini, lebih ramai cakap, ia akan memberikan tekanan kepada Israel maka peluang untuk sampai ke Gaza semakin besar,” katanya.
Ahmad Musa merupakan salah seorang sukarelawan yang menyertai misi kemanusiaan GSF.
Selebriti tanah air Ardell Aryana dan Zizi Kirana juga antara yang menyertai delegasi Malaysia dalam misi berkenaan.
Mereka memulakan pelayaran dari pelabuhan Barcelona, pada 31 Ogos dengan usaha untuk memecahkan kepungan haram di Gaza.
Dalam misi bersejarah ini, pelayar tidak membawa senjata tetapi hanya membawa bekalan bantuan untuk penduduk Gaza.- KOSMO! ONLINE