fbpx
Gambar fail keganasan yang berlaku di Jakarta baru-baru ini.

Malaysia – Indonesia ibarat ‘abang, adik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA seluruh dunia tertumpu kepada protes ganas di Indonesia, menyaksikan rumah menteri serta ahli parlimen dijarah, manakala kemudahan awam dibakar, tidak ramai sedar ada hikmah tersirat yang membuka mata kita semua.

Tatkala topeng dibuka dan sikap sebenar ahli-ahli politik negara jiran dipertontonkan kepada umum, ada kisah kasih sayang sesama rakyat jelata, saling sokong-menyokong dan yang paling penting semangat serumpun.

Siapa sangka, secara tiba-tiba munculnya idea untuk rakyat Malaysia membantu penghantar makanan online di Indonesia dengan cara memesan makanan menggunakan aplikasi Grab.

Inisiatif pesanan penghantaran rentas negara itu sedikit sebanyak dapat membantu penghantar makanan di Indonesia yang menghadapi kesukaran dalam pekerjaan mereka ketika perniagaan-perniagaan lumpuh akibat rusuhan.

Gerakan tersebut mendapat sambutan meluas daripada rakyat negara ini yang tidak lokek memberi sumbangan ikhlas ketika rakyat Indonesia dilanda ujian.

Inisiatif ikhlas itu disambut baik rakyat negara seberang, dengan ramai menggunakan platform media sosial untuk merakamkan ucapan terima kasih mereka yang tidak terhingga kepada rakyat negara ini.

“Lekas sembuh Indonesia! Tak sabar nak gaduh ‘claim’ rendang dan batik,” demikian menurut satu hantaran yang ditulis seorang rakyat Malaysia di platform Threads.

Pesanan mesra dalam gurauan itu disambut dengan komen seumpamanya yang turut menyentuh mengenai topik pergaduhan biasa antara ‘abang dan adik’ itu – asal usul sesuatu objek budaya.

Biarlah bergaduh di media sosial tentang apa pun – batik Malaysia, batik Indonesia, rendang berasal dari negara mana atau asal usul pacu jalur, pada akhirnya apabila cubit paha kiri, paha kanan juga terasa.

Daripada protes ini, dapat membuka mata kita semua bahawa hubungan antara rakyat dua negara berjiran ini sebenarnya amat erat dan sentiasa saling mengambil berat.

Persefahaman itu muncul tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kita bangsa serumpun yang berkongsi budaya, adat, sejarah dan susur galur yang hampir sama.

Mungkin selepas ini tidak patut muncul lagi isu saling berebut mengiktiraf hak siapa.

Ini kerana kita tahu walau ‘sepanas’ mana pun pergaduhan di media sosial, pada akhirnya yang adik ini pasti akan membantu si abangnya jika dia dalam kesusahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN