KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di 200 buah asrama sekolah di seluruh negara sebagai langkah untuk menjaga keselamatan pelajar dan mencegah kejadian buli.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, KPM sebelum ini sudah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk kerja-kerja pemasangan CCTV di asrama sekolah.
Menurutnya, proses perolehan pemasangan peranti keselamatan itu sudah dijalankan dan kerja-kerja pemasangannya akan dibuat dalam kadar segera.
“KPM sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan pelajar di asrama. Justeru, kita akan memasang CCTV di 200 buah asrama sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“KPM sudah umum peruntukan sebanyak RM3 juta untuk kerja-kerja pemasangan itu yang akan dibuat dengan segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Kali Ke-63 di sebuah hotel di sini hari ini.
Mohd. Azam memberitahu, pihaknya menerusi Bahagian Pengurusan Sekolah Harian akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar dalam hal ehwal keselamatan sebelum pemasangan CCTV di asrama sekolah.
Menurutnya, nasihat dan pandangan pakar itu penting bagi mengelakkan pelanggaran berkaitan hak kanak-kanak bawah umur di sekolah.
“Kita tidak mahu timbul isu lain selepas ini apabila ada yant mengatakan CCTV dipasang di dalam tandas. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memasang CCTV di asrama kerana akan timbul isu laen selepas ini.
“Kita akan dapatkan nasihat pakar mengenai hak kanak-kanak bawah umur. KPM tidak mahu privasi mereka diganggu kerana ada akta yang perlu dipatuhi.
“Selepas segala aspek itu dibincangkan, baru kita tetapkan lokasi yang sesuai untuk memasang CCTV di asrama sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE