fbpx
SOFEA SHRA (kiri) dan Nina KHalili (kanan) memperagakan busana dalam gaya klasik kontemporari.

Media sosial suntik nafas baharu pada gaya klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERANAN pempengaruh dalam dunia fesyen kini semakin penting, khususnya dalam mempopularkan gaya klasik kontemporari. Platform media sosial seperti TikTok membolehkan pempengaruh berkongsi inspirasi gaya, tip padanan pakaian serta aksesori, sekali gus membantu peminat lebih yakin menggayakan fesyen klasik kontemporari semasa sambutan Aidilfitri.

Antara pempengaruh yang memberi inspirasi adalah Sofea Shra yang berkongsi siri Eid Just Got Better menampilkan padanan klasik kontemporari yang mudah digayakan pengikutnya sempena raya. 

Nina Khalil pula terkenal dengan siri Affordable Raya, memberi tip memilih baju raya di bawah bajet tetapi tetap kelihatan elegan, menjadikan gaya klasik kontemporari lebih dekat dengan generasi muda. 

Sementara itu, Aida Razman hadir dengan siri Aida’s Raya Diary 2026 berkongsi padanan fesyen sempena raya melalui media sosial dan kolaborasi dengan jenama fesyen, membantu pengikut melihat bagaimana gaya klasik kontemporari boleh digayakan secara kreatif.

Menurut penata gaya dan pengusaha jenama Belakang Tabir, Muhammad Fais Mansuar, pempengaruh adalah golongan paling mudah menyampaikan maklumat atau pengaruh berkaitan fesyen. 

“Pempengaruh membantu orang ramai lebih berkeyakinan menggayakan gaya klasik kontemporari di era baharu. 

“Pengaruh yang dibawa mereka memberikan perspektif baharu kepada mereka yang kurang arif tentang fesyen sekali gus menjadikan gaya ini lebih mudah difahami dan diterima,” katanya.

Untuk rekod, gaya klasik kontemporari merujuk kepada rekaan klasik yang diolah dan diimprovisasi mengikut peredaran zaman. 

Siluet tradisional seperti baju kurung, kebaya atau baju Melayu dikekalkan, namun diberi nafas baharu melalui potongan, fabrik, aksesori dan warna yang lebih segar. 

Pemakai memilih gaya ini kerana menggabungkan fesyen dahulu dengan fesyen kini.

Walaupun sesetengah rekaan agak rumit, melibatkan pemakaian berlapis seperti tudung, selendang dan aksesori, ia tetap menjadi pilihan anak muda kerana ‘kontemporari’ bermaksud mengikut peredaran zaman. 

Pilihan fesyen ini membolehkan mereka tampil menarik dan relevan, selari dengan trend semasa.

Muhammad Fais juga menjelaskan bahawa walaupun terdapat unsur maksimalisme, ia bergantung kepada pemakai. 

“Maksimalisme biasanya dikaitkan dengan gaya berlebih-lebihan, namun bagi sambutan hari raya, selagi pemakaian itu selesa dan mudah, ia dianggap sesuai. 

“Kecenderungan ke arah gaya yang lebih menonjol juga adalah sebahagian daripada semangat menyambut hari kemenangan,” katanya.

Fenomena ini dilihat sebagai petanda positif untuk melestarikan pakaian tradisional dalam dunia moden. 

Fesyen bersifat berputar dan ramai individu kembali kepada fesyen longgar atau ‘loose’ yang pernah popular pada zaman ibu bapa mereka. 

Kongsi Muhammad Fais,  klasik kontemporari membantu memastikan pakaian tradisional terus relevan dan boleh digayakan generasi akan datang. 

“Peranan pempengaruh menjadi pemangkin kepada transformasi ini kerana mereka mempopularkan gaya lama dalam bentuk yang segar dan mudah diakses oleh masyarakat moden.

“Dengan panduan dan pengaruh mereka, warisan fesyen lama dapat terus hidup, relevan dan diterima ramai di era baharu,” ujar Muhammad Fais.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN