GEORGE TOWN – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang ditidurkan selepas cedera parah akibat dilanggar sebuah kereta Mercedes-Benz di Lebuh Raya Dr. Lim Chong Eu di sini pada 15 Ogos lalu, akhirnya telah sedarkan diri.
Ibunya, Salina Mohd. Salleh, 42, berkata, dia bersyukur anaknya, Muhammad Syahmin Azhar, 17, kembali sedar pada 28 Ogos lalu meskipun masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).
Katanya, setiap hari dia tidak putus berdoa semoga anaknya yang cedera parah pada bahagian dalaman badan termasuk sebelah paru-parunya rosak, urat kaki kanan putus dan patah rahang, akan kembali sedar.
“Bersyukur, Allah memakbulkan doa saya, dia sedar selepas dua minggu ditidurkan. Walaupun masih tak boleh bercakap kerana lehernya ditebuk bagi saluran pernafasan tetapi cukup sekadar mengangguk faham dan menggeleng kepala apabila kami berbual dengannya.

“Ini yang kami sekeluarga nantikan sejak dia dimasukkan ke hospital 15 Ogos lalu. Tiada apa yang dapat digambarkan selain perasaan gembira,” katanya.
Salina berkata, anaknya telah menjalani lima pembedahan pada bahagian luka dalaman badan serta rahang, namun Muhammad Syahmin perlu dipantau dalam masa dua hari bagi melihat keadaannya sebelum dipindahkan ke wad biasa.
“Besar harapan saya agar dia kembali sembuh seperti sedia kala, sekali gus dapat menduduki peperiksaan SPM,” katanya.
Katanya, sehingga kini pihak keluarga masih tidak mengetahui identiti sebenar pemandu kereta Mercedes-Benz yang melanggar anaknya sebelum melarikan diri.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seorang remaja ditidurkan selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Bayan Baru, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang Muhammad Syahmin bersama abang saudaranya dirempuh kereta itu dari belakang semasa pulang makan malam bersama keluarganya.
Mangsa bukan sahaja diseret hingga beberapa meter, malah digilis sebelum kereta tersebut melarikan diri.














