GLASGOW – Seorang pelancong asing menemui seekor rusa jantan berwarna putih berkeliaran di tepi tasik Loch of the Lowes dekat Dunkeld, Scotland, lapor portal berita MailOnline semalam.
Menurut cerita rakyat, rusa putih tidak pernah dapat ditangkap, melambangkan pencarian abadi manusia terhadap sesuatu yang mustahil dicapai.
Pelancong dari Belanda, Jose van Hell terkejut terserempak dengan haiwan itu ketika dia mengembara.
“Dalam perjalanan ke Pitlochry, kami singgah di Loch of the Lowes. Kami sempat berbual dengan seorang sukarelawan di sana, dia memberitahu kami tentang rusa putih itu.
“Bagi kami ia sangat ajaib. Nasib baik rusa itu bangun dan bergerak, kalau tidak saya akan percaya haiwan itu hanyalah sebuah patung.
“Ini merupakan salah satu detik paling indah dalam perjalanan kami dan memori yang tidak akan kami lupakan,” katanya. – AGENSI