SAUDARA PENGARANG,
Program MyKiosk menelan belanja RM150 juta yang dilancarkan pada 2023-2024 untuk membantu peniaga kecil-kecilan merupakan inisiatif yang baik.
Bagaimanapun, ada sesetengah tempat saya melihat kiosk merah puteh beserta panel solar yang dibina pada harga RM25,000 sebuah masih tidak ada penghuninya.
Di kawasan Jenderam Hilir, Dengkil, Sepang misalnya, daripada 10 buah kiosk yang dibina, hanya dua sahaja yang disewa peniaga pada harga tidak melebihi RM300 sebulan.
Pada hemat saya, pegawai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu pergi ke lokasi-lokasi yang dibina kiosk ini untuk menilai semula lokasi dan kesesuaian penempatannya.
Kadang-kadang kita lihat peniaga enggan berpindah ke situ atas alasan lokasi dan pelanggan malas hendak pergi ke situ.
Pasti kerajaan ada alasan untuk memindahkan mereka mungkin kerana hendak menyeragamkan kedudukan, keselamatan dan mengelakkan kawasan tempat letak kereta diambil peniaga.
Ketika ini, ramai yang mahu berniaga dan kiosk itu pula ada pengecualian sewa selama enam bulan kepada mereka ini. Cuma permudahkanlah urusan permohonan agar projek itu tidak sia-sia.
Penduduk prihatin,
Jenderam Hilir, Dengkil














