Di sebuah bangunan lama yang pernah menjadi hentian bas utama di tengah George Town, kini berdiri ruang seni yang kerap menjadi nadi kreativiti Pulau Pinang.
Sempena bulan kemerdekaan ini, Depoh Bas Hin sekali lagi mengangkat wajah Malaysia melalui pameran lukisan bertemakan tanah air.
Berlangsung sepanjang Ogos, pameran bernama Negaraku II itu menghimpunkan karya-karya bertemakan Malaysia daripada koleksi peribadi dua nama besar dalam seni kontemporari Malaysia, Bingley Sim dan Ima Norbinsha.
Disusun oleh jurugambar, Ivan Gabriel, pameran itu menampilkan kira-kira 60 karya seni lukisan bertemakan Malaysia.
Koleksi-koleksi yang dibawakan menyerlah dedikasi terhadap hasil karya yang menterjemah Malaysia sebagai sebuah negara.
Negaraku II meluaskan lensa dengan merangkumi suara-suara pelbagai pihak, daripada warganegara dan juga pendatang, mengiktiraf bahawa identiti Malaysia merupakan mozek budaya dan pengalaman yang sentiasa berkembang.
Pameran ini membuka ruang kepada naratif yang sering terpinggir, sekali gus mengingatkan kita bahawa kisah nasional kita jauh daripada sekadar bersifat satu dimensi.
“Negaraku II adalah satu seruan untuk menilai semula apa ertinya memiliki dan menjadi sebahagian daripada tanah air ini.

“Ia tentang menghargai setiap wajah dan setiap kisah yang belum terungkap, yang menghidupkan bumi ini.
“Karya-karya yang kami himpunkan adalah cerminan hidup masyarakat serta realiti seharian yang membentuk Malaysia.
“Dengan membahagikan pameran ini kepada bab atau tema tertentu, kami mahu membimbing pengunjung menelusuri kisah tentang kebanggaan, migrasi, makanan dan aspirasi bersama, sambil tetap memberi ruang kepada orang ramai untuk membawa makna mereka sendiri dalam perjalanan ini,” kata Ivan.
Kongsi Bingley Sim yang merupakan pengumpul karya seni, setiap karya lukisan yang dipamerkan menunjukkan kehidupan rakyat Malaysia.
“Tema Rakyat Hidup, Bersatu dan Maju, merupakan cerminan cara hidup rakyat Malaysia. Bukan sekadar hidup bersebelahan, tetapi benar-benar bersama.
“Dalam setiap karya, anda akan menemui sekilas keharmonian seharian, sama ada dalam kebaikan seorang jiran, hidangan yang dikongsi atau ketabahan mereka yang datang dari tempat lain dan kini menganggap Malaysia sebagai rumah.

“Isyarat yang senyap tetapi penuh makna ini bergema dalam setiap bab pameran, mengingatkan kita bahawa perpaduan bukanlah tentang menjadi serupa, tetapi tentang memilih untuk melihat dan menyokong satu sama lain, berulang kali,” katanya.
Pameran itu turut menampilkan karya-karya baharu oleh artis terpilih, memberikan perspektif segar terhadap isu-isu sosial dan politik mendesak masa kini.
Lebih daripada sekadar karya seni, Negaraku II dihidupkan melalui program awam yang dinamik, termasuk lawatan berpandu berbilang bahasa dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Mandarin dan bahasa Isyarat bagi memastikan semua orang, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, berasa dialu-alukan.
Mengangkat kegembiraan sederhana yang menyatukan rakyat Malaysia, pameran ini turut memperkenalkan demonstrasi makanan secara langsung apabila pengunjung dapat menyaksikan penyediaan hidangan klasik seperti roti jala dan nasi ulam.
















