PETALING JAYA – Situasi di Indonesia ketika ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelancong asing termasuk rakyat Malaysia yang sepatutnya pergi ke republik itu sama ada atas urusan kerja atau bercuti.
Tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata rakyat negara ini berbelah bagi untuk meneruskan perjalanan kerana bimbang akan keselamatan diri masing-masing.
Seorang pengguna Thread berkata, dia tidak tahu sama ada mahu ke Bandung atau sebaliknya susulan situasi tegang di negara jiran.
“Ada sesiapa di sini ada penerbangan (akan terbang) ke Indonesia dalam masa terdekat? Saya akan ke Indonesia, selamat ke nak pergi sana?
“Saya tengok Jakarta, Bandung semua tengah rusuhan. Malaysia Airlines pun tidak keluar (notis) apa-apa lagi,” katanya.
Selain itu, seorang pengguna TikTok berkongsi dia dan keluarganya terpaksa membatalkan perjalanan ke Bandung berikutan rusuhan tersebut.
“Kami sekeluarga terpaksa membatalkan perjalanan pergi ke Bandung, ibu mertua cakap kena tunggu ‘refund’ tiga bulan ke atas atau tukar tarikh lain,” kata Liana.
Sementara itu, terdapat beberapa rakyat Malaysia yang baru pulang dari Indoenesia menasihatkan orang ramai yang mahu ke negara tersebut supaya mengelakkan diri dari berada di sekitar kawasan demonstrasi.
“Saya baru balik dari Jakarta, okey sahaja. Kalau nak ‘shopping’ (beli-belah) dekat Jakarta Pusat tu. Semasa demonstrasi jalan ditutup, tapi sesak luar biasa. Tanah Abang, Thamrin selamat,” kata Adli.
“Saya di Jakarta semalam, operasi kedai makan, ‘mall’ (pusat beli-belah) (beroperasi) seperti biasa sahaja cuma kebanyakannya tutup awal menjelang pukul 5 petang. Tadi keluar pun dari pukul 8 pagi sampai 2 petang selepas itu balik hotel,” kata Kees.
“Saya masih di Jakarta, sila pastikan pergi ke tempat yang selamat sahaja. Area Senayan jangan pergi,” pesan Nadira. – KOSMO! ONLINE