fbpx
Rosli menunjukkan Jalur Gemilang tanda semangat cintakan negara ketika ditemui di Jementah, Segamat baru-baru ini.

Diserang hendap komunis dalam hutan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Seorang bekas askar memberitahu dia masih terasa hangat darah yang membuak keluar daripada kerongkong rakannya selepas mereka diserang hendap komunis ketika meronda di dalam hutan di sekitar Kelantan pada awal pagi tahun 1983.

Koperal (Bersara) Rosli Ani, 63, berkata, peristiwa hitam bertempur dengan komunis itu masih segar dalam ingatannya walaupun kejadian itu sudah 42 tahun berlalu.

Katanya, darah yang keluar daripada kerongkong rakannya itu tidak pernah dilupakan apatah lagi mangsa meninggal dunia di pangkuannya selepas ditembak komunis.

“Ketika itu saya dan Allahyarham rakan serta beberapa lagi anggota dari Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja sedang me­lakukan rondaan dalam hutan di sekitar Kelantan yang agak jauh dari penempatan penduduk.

“Beberapa minit sebelum kejadian serangan hendap kira-kira pukul 4 pagi itu, kami ada terdengar bunyi rating kayu patah, namun menyangkakan ranting kayu jatuh atau pergerakan haiwan liar,” katanya ketika ditemui di Jementah di sini baru-baru ini.

Menurut Rosli, tiba-tiba mereka terdengar tembakan bertalu-talu pengganas komunis dari arah hadapan sebelum melihat rakannya tersungkur sambil menjerit kesakitan.

Tambahnya, secara spontan dia terus menjerit kalimah Allahuakhbar selain sempat berbisik dua kalimah syahadah kepada rakannya itu.

“Masih lagi terasa bagaimana hangat darah daripada kerongkong leher Allahyarham rakan saya yang berusia 19 tahun ketika itu membasahi tubuh saya ketika memangku dia untuk mencari perlindungan selepas diserang hendap pengganas komunis,” katanya.

Ujar Rosli, kejadian itu me­ninggalkan kesan yang mendalam serta amat memilukan dalam sanubarinya sehingga dia tidak mampu berkongsi nama Allahyarham.

“Dalam keadaan leher Allahyarham yang sudah terce­dera teruk, saya cuba memberikan rawatan tetapi hakikatnya dia sudah tidak bernyawa lagi,” kongsinya dalam nada sebak.

Ujar Rosli, dalam keadaan genting itu, dia terus mencapai senjata dan menembak balas sehingga habis tiga kelopak peluru M16 disertai sama oleh anggota pasukan RAMD yang berada tidak jauh dari situ bagi membantu membalas serangan pengganas.

Selepas membalas tembakan kira-kira 20 minit, pengganas komunis durjana tersebut melarikan diri ke dalam hutan tebal.

Katanya lagi, sebaik saja memastikan semua pengganas komunis sudah melarikan diri ke dalam hutan, mereka meminta bantuan helikopter untuk membawa keluar jenazah Allahyarham rakannya untuk pengurusan seterusnya.

Rosli yang merupakan bapa kepada empat orang cahaya mata dan empat orang cucu menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada tahun 1993.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN