JERANTUT – Kira-kira 15 buah rumah dan khemah gerai jualan mengalami kerosakan akibat dibadai ribut di beberapa lokasi di sekitar Damak dan Pulau Tawar di sini kelmarin.
Antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Temin, Taman Saujana Utama, Taman Impian, Taman Perdana, Pasar Borong Damak, manakala beberapa khemah gerai di Pulau Tawar turut diterbangkan angin kencang.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.30 petang itu juga menyebabkan pokok buah-buahan dan kelapa tumbang.
Peniaga Pekan Sehari Damak, Hisham Abdullah, 45, berkata, sebelum kejadian, dia melihat awan gelap diikuti dengan tiupan angin kencang di sekitar kawasan gerai di Kampung Bukit Rang dekat sini.
“Memandangkan angin mula bertiup kencang dan hujan mula rintik, saya dan pekerja mengemas barang jualan untuk dimuat ke atas van.
“Belum sempat barang niaga dipunggah, secara tiba-tiba ribut kuat dan menerbangkan khemah gerai kami.
“Keadaan kelam-kabut dan ramai pengunjung yang rancak membeli barang bertempiaran lari ke arah kenderaan masing-masing untuk berteduh selain ada yang terus beredar dari kawasan ini,” katanya di Bukit Rang di sini semalam.
Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Temin, Nurhuda Hadi, 40, berkata, dia yang mula melangkah ke bilik air untuk mengambil wuduk, tiba-tiba terdengar bunyi kuat di luar rumah sebelum melihat beberapa dahan pokok jatuh.
“Saya keluar dari bilik air dan menjengah menerusi tingkap rumah mendapati ribut dan hujan, manakala beberapa batang pokok buah-buahan tumbang. Mujur pokok itu tidak menghempap rumah,” katanya.
Katanya, kejadian angin kencang dan hujan lebat bermula sejak lalu iaitu pada sebelah petang, namun kejadian semalam merupakan kejadian paling kuat sehingga menerbangkan bumbung dan atap rumah termasuk menumbangkan pokok.














