fbpx
Gambar hiasan

UEM Edgenta raih kontrak RM3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – UEM Edgenta Berhad telah berjaya meraih kontrak baharu berjumlah RM3 bilion bagi tempoh separuh tahun pertama 2025, berbanding RM2.8 bilion yang dicapai pada keseluruhan tahun lalu.

Pengerusi, Jawatankuasa Pengurusan Edgenta, Shaiful Subhan berkata, perniagaan di Malaysia menyumbang 57 peratus daripada keseluruhan nilai kontrak baharu tahun ini, bersamaan RM1.678 bilion.

“Ia diikuti dengan Singapura (RM773 juta), Taiwan (RM420 juta), Emiriyah Arab Bersatu (RM61 juta) dan Arab Saudi (RM18 juta).

“Berdasarkan sektor, penyelesaian kesihatan merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM2.493 bilion, diikuti penyelesaian fasiliti dan hartanah (RM294 juta),” katanya pada sesi taklimat bersama penganalisis dan media yang diadakan hari ini.

UEM Edgenta mencatat keuntungan bersih sebanyak RM11.2 juta untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2025, menandakan pemulihan kukuh daripada kerugian bersih RM17.7 juta pada suku sebelumnya.

Pemulihan didorong oleh hasil yang lebih kukuh berjumlah RM730.3 juta, peningkatan sebanyak RM84.2 juta suku ke suku, mencerminkan peningkatan kerja tertunda dan sumbangan daripada kontrak baharu merentas segmen utama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Fazril Fauzi berkata, pihaknya telah melaksanakan langkah mitigasi daripada peningkatan kos termasuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja warga asing, serta kenaikan tarif elektrik.

“Daripada perspektif SST, kami telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengimbanginya, namun disebabkan ia baharu diperkenalkan, ia belum membuahkan hasil dan impaknya mungkin dapat dilihat dalam beberapa bulan akan datang.

“Bagi caruman KWSP, bilanga pekerja warga asing kami adalah minimum di Malaysia.

“Untuk tarif elektrik, kita tahu kenaikan adalah 14 peratus dan penyelesaian bangunan pintar kami sepatutnya dapat mengimbangi sebahagian, jika tidak semua peningkatan tersebut. Kami berharap akan mendapat lebih banyak maklumat berkaitan perkara ini, mungkin dalam taklimat untuk suku seterusnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI