MARANG – Demi memenuhi tempahan pelanggan sempena Aidilfitri, penenun dalam kalangan bekas banduan bertungkus-lumus menyiapkan setiap helai sampin songket dalam masa 32 jam berbanding kebiasaannya 14 hari.
Mereka yang bekerja dengan pengusaha songket, Siti Mariam Said, 46, berjaya menyiapkan 16 helai sampin songket ‘ekspres’ mengikut masa ditetapkan sepanjang bulan Ramadan ini.
Seorang penenun yang juga bekas bantuan dikenali sebagai Azman, 33, berkata, biarpun ditenun secara segera, kualiti sampin songket sentiasa menjadi keutamaan.
“Sepanjang Ramadan ini, kami banyak terima tempahan sampin songket secara ad-hoc (segera tanpa berjadual).
“Ikut kelaziman perlu masa minimum 14 hari untuk menyiapkan sehelai sampin songket tetapi demi tidak menghampakan pelanggan, kami selesaikan juga dalam tempoh 32 jam sahaja,” katanya di bengkel perusahaan songket itu di sini semalam.
Menurutnya, mereka bersengkang mata menyiapkan tempahan sampin songket dari pukul 8 pagi hingga 2 pagi setiap hari dan hanya berhenti rehat sekejap untuk menunaikan solat fardu dan sunat tarawih serta berbuka puasa.
“Ikutkan memang penat tetapi ia hilang serta-merta apabila tenunan siap sepenuhnya,” katanya.
Seorang lagi bekas banduan dikenali Rahman, 37, pula berjaya menyiapkan songket bermotif bunga tabur dalam tempoh 14 hari berbanding tiga bulan masa sepatutnya.
“Kain songket bunga tabur antara paling sukar dihasilkan kerana memerlukan ketelitian tinggi selain prosesnya lebih rumit,” katanya
Sementara itu, Siti Mariam berkata, setiap sampin songket itu dijual pada harga antara RM1,900 hingga RM12,000 bergantung kepada corak dan tahap kerumitan tenunan.














