KUALA TERENGGANU – Biarpun usia sudah menjangkau 90 tahun, seorang lelaki warga emas tetap cergas menunaikan ibadah ketika Ramadan termasuk solat sunat tarawih 20 rakaat berserta witir setiap malam.
Wan Embong Wan Abdullah berkata, sudah menjadi rutinnya beriktikaf di masjid seawal pukul 8.15 malam untuk beribadah setiap malam sepanjang Ramadan ini.
Dia yang mesra dipanggil Ayah Wan juga bersyukur masih dikurnia kesihatan bagi melaksanakan ibadah puasa biarpun usia sudah sembilan dekad.
“Saya tiada apa-apa amalan kekal sihat, mungkin gemar makan ulam-ulaman dan kerap berjalan kaki sejak muda jadi penyebabnya.
“Ke mana-mana saya cuma berjalan kaki sebab tidak pandai menunggang motosikal dan basikal apatah lagi memandu kereta,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Duyong Kecil di sini kelmarin.
Wan Embong berkata, kerjaya sebagai kelasi, nelayan dan penoreh getah sewaktu muda yang menuntutnya mengerah kudrat juga mungkin rahsia dia kekal cergas sehingga kini.
Katanya, dia tidak pernah sekali pun ‘ponteng’ puasa sejak akil baligh biarpun pekerjaan itu menuntutnya berada di tengah laut sehingga berbulan-bulan lamanya.
“Kerja sebagai kelasi kapal dagang satu ketika dulu sangat berat kerana ia dioperasikan menggunakan layar yang digerakkan kuasa angin. Pengggunaan tenaga maksimum diperlukan terutama sewaktu berlaku badai dan ribut,” katanya.
Ujarnya, dia dan kelasi lain juga perlu mencedok keluar air laut yang memasuki kapal secara manual bagi mengelakkannya karam.
Katanya, tambah perit sekiranya berlaku kebocoran, tindakan terjun dan menyelam ke laut terpaksa dilakukan bagi melakukan kerja-kerja penampalan dari luar badan kapal dagang.
“Hikmah bekerja keras pada waktu muda membuatkan saya kekal cergas sehingga sekarang. Alhamdulillah, masih dikurnia kesihatan baik termasuk pendengaran, penglihatan dan ingatan,” katanya.















