SUNGAI BULOH – Keluarga kepada pelajar lelaki tingkatan tiga yang parah selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama tiga tingkat di Selangor menyeru agar mana-mana saksi tampil memberi keterangan jujur kepada pihak berkuasa.
Muhammad Aidil Mansor, 34, yang juga bapa saudara mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, 15, berkata keterbukaan saksi amat penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus serta adil.
“Kalau ada siapa yang nampak kejadian tu, tolonglah bercakap benar dan tampil memberi keterangan kepada pihak berkuasa dengan sejujurnya.
“Kami bukan mahu mencari salah sesiapa, tetapi hanya mahu penyelesaian yang telus supaya perkara sebegini tidak berulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, Ahmad Irfan merupakan seorang pelajar yang rapat dengan guru serta warden asrama selain beradab dan disenangi ramai.
Ujarnya, keluarga tidak pernah mendengar sebarang aduan bahawa mangsa dibuli atau diganggu sepanjang berada di asrama.
“Sepanjang bersekolah di asrama, dia tak pernah mengadu kena kacau atau dibuli. Malah, setiap kali balik asrama dia tenang sahaja, tiada tanda-tanda takut atau enggan pulang ke asrama,” jelasnya.
Katanya, kejadian itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada keluarga, malah turut memberi kesan mendalam kepada warga sekolah yang amat mengenali Ahmad Irfan.
Muhammad Aidil berkata, keluarga kini hanya mengharapkan keajaiban serta doa rakyat Malaysia agar Ahmad Irfan kembali sembuh.
“Dia masih muda, perjalanan hidupnya masih panjang. Kami mahu lihat dia kembali sihat dan bersekolah seperti biasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan keluarga tidak menuntut lebih daripada sepatutnya, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan telus.
“Kalau silap datang daripada Irfan sendiri, kami akur. Tetapi kalau ada faktor lain, kami minta ia diadili sebaik-baiknya. Kami percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya, sebab itu kami hanya berharap pada ketelusan pihak berkuasa,” jelasnya.
Muhammad Aidil turut menghargai keprihatinan Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengambil serius insiden berkenaan.
“Mungkin apa yang berlaku kepada Irfan boleh jadi titik tolak untuk KPM lebih cakna soal keselamatan pelajar asrama.
“Sekolah sepatutnya jadi tempat paling selamat, bukan menimbulkan kerisauan ibu bapa,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Dr Afif Bahardin ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga Ahmad Irfan di Hospital Sungai Buloh memaklumkan keadaan pelajar itu ketika ini dalam keadaan stabil.
“Saya dimaklumkan oleh doktor dan petugas kesihatan bahawa keadaan beliau kini stabil walaupun masih memerlukan rawatan rapi selepas menjalani pembedahan. Kita sama-sama doakan agar Ahmad Irfan segera pulih,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menyiasat secara terperinci berhubung kes berkenaan.
Jelas beliau, siasatan meliputi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, dan latar belakang sosial mangsa serta rakan-rakannya. – KOSMO! ONLINE