fbpx
Keadaan lebuh raya yang didakwa berisiko berlaku kejadian jatuh akibat kemalangan.

Tambah ketinggian penghadang 2 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penghadang jalan di jejambat lebuh raya wajar ditinggikan dengan tambahan dua meter khususnya di kawasan selekoh berisiko tinggi bagi mengelak kejadian penunggang motosikal tercampak ke bawah.

Penyelidik utama Smart Dri­ving Research Center Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, kejadian penunggang motosikal jatuh dari jejambat bukanlah isu baharu, malah tahun ini sahaja sudah beberapa kes direkodkan termasuk di Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash).

Katanya, keutamaan kini perlu diberikan kepada pembinaan penghadang konkrit atau besi setinggi sekurang-kurangnya dua meter di laluan selekoh tajam, terutama di lebuh raya bertingkat yang sering menjadi laluan penunggang motosikal.

Menurutnya, sistem penghadang jalan sedia ada, seperti pembahagi jalan biasa (parapet wall atau penghadang besi/konkrit) mungkin direka untuk menahan impak kereta, tetapi tidak cukup tinggi atau kuat dalam menghalang penunggang motosikal daripada terpelanting melepasi struktur penghadang terutama sewaktu kemalangan.

“Secara asasnya, reka bentuk lebuh raya di Malaysia melalui proses penilaian ketat oleh jurutera bertauliah. Piawaian ke­selamatan memang dipatuhi, namun apabila berlaku kemalangan berulang di lokasi sama dengan pola hampir serupa, ia menjadi petunjuk jelas reka bentuk atau ciri keselamatan perlu dinilai semula.

“Sekiranya kerap berlaku kes tercampak ke bawah, maka penghadang sedia ada perlu dinaik taraf. Tingginya perlu ditingkatkan, mungkin sehingga dua meter di selekoh atau jejambat tertentu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, walaupun reka bentuk asal lebuh raya mematuhi standard keselamatan, faktor lain seperti kelajuan berlebihan, sikap penunggang serta kualiti pembinaan turut menyumbang kepada risiko kemalangan.

Kelmarin, seorang penunggang motosikal maut selepas terbabas dan tercampak pada ketinggian 21 meter dari persimpangan bertingkat Dash.

Ini adalah kejadian ketiga tahun ini selepas dua penunggang motosikal mati dalam keadaan mengerikan apabila tercampak dari lebuh raya itu sebelum ini.

Dalam pada itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dalam kenyataan memaklumkan, reka bentuk lebuh raya itu memenuhi semua keperluan keselamatan ditetapkan.

“Walaupun reka bentuk le­buh raya ini memenuhi semua keperluan keselamatan, kami telah mengambil langkah proaktif seperti pemasangan papan tanda amaran tambahan di lokasi strategik, mempertingkat hebahan kesedaran awam serta merancang pemasangan pagar tambahan bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan,” katanya semalam.

Menurut Prolintas, pihaknya mengambil maklum dua insiden kemalangan motosikal yang berlaku baru-baru ini.

Syarikat itu turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi had laju ditetapkan dan memandu dengan berhemah terutama di bahagian lebuh raya yang bertingkat serta berselekoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN