fbpx
SAIZ sebesar tapak tangan menjadikan iPad mini 6 kelihatan praktikal untuk urusan kerja dan hiburan.

Muaz pilih peranti mini mudahkan urusan kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KERJAYA sebagai penyampai radio dan pengacara membuatkan Muazanazzuddin Mohamed atau lebih dikenali sebagai DJ Muaz memerlukan peranti pintar bagi memastikan segala urusan kerja berjalan lancar.

Disebabkan itu, Muaz memilih menggunakan iPad mini 6 yang bukan sahaja memudahkan tugasan kerja, bahkan selesa untuk dibawa ke mana sahaja kerana saiznya hampir sebesar tapak tangan.

“Saiznya yang kecil dan ringan membuatkan ia mudah untuk dibawa ke mana sahaja. Ia juga senang untuk dikendalikan ketika berada di atas pentas kerana berbentuk kad skrip.

“Sebelum ini saya memang telah memiliki pelbagai versi iPad tetapi sepanjang dua tahun menggunakan iPad mini 6 bagi saya ini yang terbaik dan memenuhi kriteria keperluan kerja sebagai pengacara dan membantu membuat persiapan sebelum bersiaran di radio.

“Saya menggunakan peranti ini bukan kerana terikut-ikut dengan trend semasa tetapi ia memberikan kepuasan saat melakukan urusan kerja dan dapat menonton kandungan hiburan dengan lebih selesa,” katanya kepada kepada K-Tekno.

Penyampai radio Kool 101 itu turut kagum dengan kemampuan kamera depan iPad mini 6 yang memiliki lensa sudut lebar yang sukar untuk ditemukan di telefon.

Disebabkan itu gajet tersebut menjadi peneman setia Muaz saat bekerja atau berehat sambil menikmati kandungan hiburan terutama menonton filem dan mendengar lagu.

Melihat kepada pesona penyampai radio berusia 40 tahun itu, Muaz kelihatan seorang yang serius dalam penggunaan teknologi dan lebih kepada memudahkan urusan kerja sahaja.

PERMAINAN video Street Fighter atau FIFA menjadi antara pilihan Muaz untuk bermain di telefon.

Bagaimanapun, telahan itu salah kerana Muaz gemar bermain permainan video di telefon terutama ketika masa lapang.

“Saya memang suka main permainan video bola sepak terutama FIFA tetapi tidak sampai memiliki konsol PlayStation. Secara peribadi juga saya tidak merancang untuk membelinya kerana bimbang akan menyebabkan ketagihan dan leka.

“Jadi, saya banyak bermain permainan video di telefon untuk menghilangkan bosan. Kalau bukan bola, saya suka permainan pertarungan seperti Tekken dan Street Fighter.

“Permainan berkonsep strategi selalunya memang saya elekkan kerana kurang berminat sebab saya tidak mahu pening kepala,” ujarnya sambil melepaskan ketawa kecil.

Akui Muaz, telefon sudah dianggap sebagai medium penting yang bukan sekadar membolehkan kita untuk berhubungan tetapi juga untuk berhibur dan menyerlahkan kreativiti terutama melibatkan suntingan kandungan bahan media sosial.

Katanya, teknologi kecerdasan buatan (AI) membuatkan aplikasi CapCut menjadi lebih mudah di samping hasil video yang menarik.

“Tidak dinafikan aplikasi ini memudahkan saya untuk menyunting video, terjemahan audio dan bermacam lagi, sekali gus menyerlahkan seni kreativiti saya.

“Saya faham teknologi sekarang sudah semakin maju dan AI juga telah banyak memudahkan kerja tetapi aplikasi ini juga beri saya peluang untuk mempamerkan idea asli dalam menyunting video sendiri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN