DI tengah-tengah deretan kafe moden dan restoran hipster di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, terdapat sebuah tempat kulinari yang akan membawa anda jauh ke bumi Palestin.
Restoran Yafa menyimpan cerita besar tentang tanah Palestin.
Setiap suapan bukan sekadar menikmati keenakan makanan, malah belajar mengenai warisan yang diceritakan menerusi aneka juadah.
Dibuka sejak awal tahun ini, restoran tersebut pantas mencuri tumpuan pengunjung yang mahu merasai sendiri juadah asli dari negara Asia Barat itu.
Pemiliknya, Zara Riza berkata, dia mengasaskan restoran tersebut sebagai salah satu cara untuk memperkenalkan juadah dari Palestin kepada orang ramai.
“Bapa mentua saya berasal dari sebuah wilayah di Palestin dikenali sebagai Yafa.
“Pembukaan restoran ini dengan menamakannya sebagai Yafa sempena nama tempat kelahiran bapa mentua adalah cara saya untuk terus menghidupkan juadah yang dekat di hati.
“Ia juga adalah cara saya untuk terus menyampaikan mesej kepada orang ramai tentang situasi yang sedang berlaku di sana (Palestin),” katanya.
Menyajikan pelbagai juadah seperti aneka nasi dan roti, Zara yakin Restoran Yafa memiliki sesuatu yang akan memikat selera pengunjung.
Antara juadah yang disajikan termasuklah kambing manakeesh iaitu roti dengan topping za’atar, keju dan daging cincang.

Turut disajikan, kambing mansaf iaitu daging kambing dimasak bersama yogurt serta ayam maqluba dengan nasi yang disajikan dalam dulang besar.
Ayam maqluba merupakan juadah yang sangat terkenal di Palestin.
Lazimnya, sajian itu dihidangkan pada majlis keluarga, kenduri atau ketika menyambut tetamu, sekali gus menjadikannya menu wajib cuba di Restoran Yafa.
Jelas Zara, dia amat cerewet tentang pemilihan bahan masakan bagi memastikan juadah yang dihasilkan benar-benar ‘capture’ rasa masakan asli dari negara itu.
Bagi pilihan minuman pula, pelanggan boleh memilih rose blossom latte dan Yafa sharbat yang cukup menyegarkan.
Selain juadah asli dari Palestin, Zara juga menghias restoran dengan elemen melambangkan negara itu seperti lukisan mural di salah satu sudut restoran.
Berkongsi tentang mural dinding bertulis ‘Make Hummus Not Walls’ yang diletakkan di ruang luar restoran, Zara memaklumkan, ia adalah karya seni yang sememangnya terdapat di salah sebuah lokasi di Palestin.
“Mural dinding ini merupakan salah satu karya seni ikonik yang terdapat di Palestin, khususnya di tembok pemisah dibina Israel di Tebing Barat.
“Saya bekerjasama dengan sekumpulan artis untuk membawa mural itu ke restoran ini,” katanya sebelum menutup bicara.














