KUANTAN – “Saya rasa kosong ketika itu, kalau kena serang tiada dah saya.”
Demikian cerita Mohd. Rizan Muhammad Noor, 59, apabila ‘bertembung’ dengan kelibat seekor buaya hampir sebesar kereta Perodua Kancil ketika memancing di Sungai Belat, di sini.
Katanya, kejadian kira-kira pukul 7 malam awal tahun ini itu berlaku ketika dia keluar memancing bersama tiga rakan menaiki sebuah bot gentian kaca.
Katanya, ketika itu dia meletakkan bot untuk memancing di tepi pokok nipah di kawasan berair hitam yang menjadi habitat udang galah.
“Sedang asyik memancing saya menoleh ke belakang dan saya berasa terkejut apabila ternampak kepala buaya di sebelah enjin dan bahagian badannya di hujung bot gentian kaca 14 kaki, manakala ekornya tenggelam.
“Saya cuba menghidupkan enjin bot beberapa kali tetapi gagal, menyebabkan saya bertindak mengayuh bot perlahan-lahan, dan bila cuba sekali lagi hidupkan enjin akhirnya berjaya.
“Pada masa itu saya bersyukur apabila gagal hidupkan enjin awal kerana mungkin boleh menyebabkan reptilia itu terkejut dan bertindak melibas bot,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, kejadian buaya kelihatan di Sungai Kuantan, Sungai Belat dan Sungai Soi semakin kerap ketika ini berbanding 10 tahun lalu yang sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada nelayan darat dan pemancing.
“Meskipun tiada kes serangan reptilia itu dilaporkan di sungai berkenaan, namun mereka setiasa berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Pelbagai lagi pengalaman dilaluinya sepanjang memancing di sungai berkenaan sehingga ada masanya tidak dapat meneruskan perjalanan kerana ‘sekatan’ dilakukan reptilia berkenaan.
“Ada masa ketika nak masuk ke Sungai Soi yang lebih cetek sering terdapat buaya timbul di tengah sungai menyebabkan bot tidak boleh lalu dan terpaksa berpatah balik,” katanya.
Ditanya mengenai kes serangan buaya katanya, setakat ini tiada kes seperti itu dialaminya dan rakan-rakan pemancing lain dan mereka sentiasa berhati-hati berhadapan reptilia ganas itu.
Katanya, cuma pernah sekali dia menyaksikan seekor buaya melompat ke arah seorang rakannya yang berada di atas bot di Sungai Belat.
“Saya melihat buaya itu ‘melompat’ ketika rakan saya hendak hidupkan enjin bot hingga bahagian bawah mulut buaya terkena tangannya menyebabkan dia terkejut walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Akibatnya, rakan saya berasa trauma dan demam sehingga dua minggu serta beberapa bulan tidak turun ke sungai,” katanya.
Seorang nelayan darat, Aminullah Mohamed, 39, berkata, kelibat buaya memang dapat dilihat di merata tempat di Sungai Kuantan ketika ini termasuk di kawasan jeti di Kampung Belukar.
“Namun tiada kes serangan buaya dilaporkan dan penduduk masih dapat melakukan aktiviti di sungai seperti biasa.
“Buaya juga sering terperangkap di pukat dan jaring yang ditahan nelayan serta pukat yang hanyut di sungai berkenaan.
“Saya ada maklumkan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan kalau kebetulan ada buaya yang sangkut pada pukat saya akan ambil dan serahkan kepada Perhilitan.
“Setakat ini sudah banyak buaya yang saya serahkan kepada mereka dan kebanyakannya sebesar betis manusia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














