KUCHING – Seorang wanita akur apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Land Cruiser yang dipandu disita kerana tidak memiliki cukai jalan dan perlindungan insurans.
Bagaikan ‘menyerah diri’, pada mulanya wanita itu hadir ke Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak di sini untuk menghantar teman lelakinya yang berhasrat menuntut kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang disita oleh pihak berkuasa.
JPJ Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Ops Kenderaan Mewah akan terus dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan pemilik dan pemandu mematuhi undang-undang jalan raya tanpa sebarang kompromi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan cukai jalan dan insurans diperbaharui sebelum menggunakan kenderaan masing-masing di jalan raya.
“Kelalaian dalam aspek ini bukan sahaja boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang, malah membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.-KOSMO! ONLINE