SEREMBAN – Tiada pelabur menarik diri dari Negeri Sembilan, sebaliknya kerajaan negeri terus menerima kemasukan baharu untuk mencapai sasaran RM10 bilion sepanjang tahun ini di sebalik pelaksanaan tarif balas Amerika Syarikat.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehingga kini tiada sebarang laporan diterima berhubung penarikan keluar pelaburan asing daripada negeri itu.
Katanya, kesan dasar tarif Amerika terhadap pelaburan masih belum ketara kerana kadar tarif yang dikenakan tidak tinggi, menjadikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik di rantau ini.
“Disebabkan itu, semakin ramai pelabur datang melabur di negara ini, dan ini memberikan keyakinan kepada kita bahawa Negeri Sembilan terus menjadi antara lokasi pelaburan yang istimewa di Malaysia,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan prestasi pelaburan negeri ini menunjukkan trend peningkatan, sekali gus meyakinkan kerajaan negeri bahawa sasaran RM10 bilion pelaburan bagi tahun ini adalah realistik dan mampu dicapai. – KOSMO! ONLINE