fbpx
Laporan muka hadapan Kosmo! 14 Ogos lalu.

Pendakwaan, inkues kembalikan keyakinan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pertuduhan ke atas lima remaja dan pelaksanaan inkues berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa dan kerajaan sekiranya dijalankan secara telus dan berintegriti.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, isu itu perlu dipisahkan daripada kepentingan politik kerana le­bih menjurus kepada elemen kemanusiaan termasuk kemungkinan wujudnya unsur buli dan jenayah.

“Masyarakat tidak boleh te­rus membuat persepsi awal, namun tekanan sosial bo­leh diberikan kepada pihak ber­kepentingan untuk memastikan ketelusan.

“Langkah ini penting untuk memberikan kelegaan dalam menangani isu pembulian di negara kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai kesannya kepada Sabah yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang, Dr. Noor Nirwandy menegaskan isu tersebut tidak wajar dijadikan sebagai ‘modal’ politik.

“Hal ini tidak harus dikaitkan dengan kepimpinan kerajaan atau polarisasi politik kerana ia melibatkan kematangan sosial, kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat.

Noor Nirwandy

“Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mengambil langkah kawalan yang baik agar isu sebegini tidak menjejaskan kestabilan,” katanya.

Tambahnya, ketelusan pihak berkuasa dalam menyiasat dan mengadili kes tersebut menjadi pemangkin keyakinan rakyat, selain memperkukuhkan aspek sosial melibatkan kanak-kanak, remaja dan pendidikan.

“Jika isu ini ditangani de­ngan penuh dedikasi dan bebas da­ripada ketaasuban politik, ia mam­pu membentuk kualiti kehidupan yang lebih baik dan menyumbang kepada kestabilan menjelang PRN Sabah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Te­rengganu, Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, masyarakat perlu memberikan sepenuhnya so­­kongan dan kepercayaan kepada pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu berkaitan.

Katanya, proses pendakwaan terhadap lima individu serta pelaksanaan inkues yang diumumkan sebelum ini diyakini mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pihak berkuasa.

Mohd. Izani

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan isu ber­ke­naan memberi kesan besar kepada landskap politik Sabah yang bakal berdepan pilihan raya ke-17 yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini.

“Impak kes ini besar kerana ia boleh dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan tertentu, menggunakan isu ini sebagai modal politik.

“Tanpa isu ini, pembubaran kerajaan Sabah akan tetap berlaku apabila tamat tempoh selewat-lewatnya November ini. Namun, isu ini dijangka mewarnai kempen PRN akan datang,” ka­tanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seramai lima individu bakal dituduh hari ini kerana didakwa terlibat dalam kes buli membabitkan Zara Qairina, 13.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokh­tar dan pertuduhan dijang­ka dijalankan di Mahkamah Ka­nak-kanak Kota Kinabalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN