SABAN tahun, kes-kes perlanggaran haiwan liar oleh kenderaan di atas jalan raya lazim terjadi di seluruh dunia. Namun, pengkaji di Australia kini mendakwa mereka telah menemui satu sistem baharu untuk menghalang kejadian itu berleluasa.
Sistem baharu tersebut yang dlperkenalkan pada 29 Julai lalu dinamakan Large Animal Activated Roadside Management and Alert System atau Sistem Pengaktifan Pengurusan dan Pemantauan Tepi Jalan Haiwan Besar (LAARMA).
Menyorot masalah perlanggaran haiwan di negara itu, kajian Wildlife Roadkill Project, menganggarkan empat juta hingga 16 juta haiwan liar terbunuh di jalan raya setiap tahun akibat dilanggar kenderaan di Australia.
Secara puratanya, kajian oleh ahli ekologi Dr. Darryl Jones mendapati 32 haiwan mati setiap 100 kilometer jalan di jalan utama setiap hari.
Angka tersebut mencetuskan kebimbangan kepada masyarakat terutama melibatkan kelangsungan spesies haiwan terancam di negara itu seperti kanggaru, koala, wombat, wallaby, burung magpie, burung kasuari dan kookaburra.
Meskipun pemandu berusaha mengendalikan kenderaan dengan baik, namun tetap tidak dapat mengelak daripada kehadiran haiwan yang sering muncul secara tiba-tiba.
Disebabkan itu, pengkaji tempatan membangunkan alat pengesan berkemampuan teknologi kecerdasan buatan (AI) agar dapat memberi amaran kepada pemandu terhadap kehadiran haiwan. Ia disifatkan sebagai teknologi AI tepi jalan pertama dunia untuk mencegah perlanggaran haiwan.
Alat tersebut ditempatkan di laluan berisiko tinggi perlanggaran haiwan di Far North Queensland yang berfungsi menjejaki kehadiran haiwan sekali gus mengeluarkan amaran pada skrin LED. Kawasan itu menjadi lokasi panas kejadian kemalangan melibatkan burung kasuari.
Alat LAARMA itu mampu memberikan isyarat pantas kepada pemandu.
Penggunaan AI pada kamera pengesan itu telah menunjukkan hasil luar biasa apabila berjaya mengurangkan jumlah kematian burung kasuari sebanyak 31 peratus di kawasan terbabit.
Dibangunkan oleh pasukan penyelidik yang dibiayai oleh Pusat Penyelidikan Koperasi iMOVE (CRC), LAARMA telah berjaya menghalang perlanggaran kenderaan terhadap haiwan di wilayah Australia.
LAARMA dibangunkan melalui kerjasama antara Universiti Sydney, Universiti Teknologi Queensland (QUT) serta Jabatan Pengangkutan dan Jalan Utama (TMR) Queensland.
Sistem LAARMA menggabungkan penderia yang dipasang pada tiang dengan menggunakan kamera RGB (direka khusus untuk menangkap cahaya tampak), pengimejan terma (haba) dan LiDAR (laser mengukur jarak).
Sementara AI dengan kemampuan latihan kendirinya berupaya mengesan ketepatan kehadiran haiwan dari semasa ke semasa, kemudian memberi amaran kepada pemandu melalui tanda mesej pemboleh ubah (VMS) yang berkelip.

Memetik laporan Yahoo News, jurucakap TMR Queensland berkata, amaran memperlahankan kenderaan bersama ikon haiwan yang sedang melintas akan dipaparkan pada skrin.
“Papan tanda elektronik itu akan memaparkan jenis haiwan yang dikesan dan mesej amaran akan memberitahu pemandu pada masa nyata bahawa ada haiwan liar seperti kasuari berada di hadapan.
“Cara itu membuatkan pemandu memperlahankan kenderaan secara purata 6.4km/j iaitu 10 peratus dalam kelajuan zon 60km/j. Ini adalah pengurangan kelajuan yang ketara dan boleh meningkatkan masa tindak balas dan bersedia dengan sebarang kemungkinan saat haiwan sedang melintas,” katanya.
Semasa percubaan lapangan selama lima bulan, LAARMA mencapai ketepatan pengesanan 97 peratus dan merekodkan lebih 287 kehadiran burung kasuari dan berjaya mengurangkan kelajuan kenderaan sehingga 6.3km/j di kawasan berkenaan.
LAARMA semakin memberikan impak positif apabila berjaya mengesan kasuari dengan ketepatan hampir 100 peratus.
Tambah jurucakap TMR Queensland, langkah itu secara tidak langsung membuktikan perkembangan teknologi kamera AI di Australia semakin meningkat selepas mula digunakan untuk mengesan kesalahan pemandu.
“Tidak seperti sistem konvensional yang perlu diprogram semula atau dilatih oleh manusia, LAARMA menggunakan AI untuk mengenal pasti sendiri dan mengingati rupa haiwan.
“Tidak mengira sama ada bayang-bayang atau haiwan seperti burung kasuari bergerak pantas di belakang pokok tepi jalan tetap dapat dikenal pasti.
“Kamera itu juga dapat mengenal pasti jenis kenderaan yang melalui laluan tersebut sekali gus akan terus memberi amaran sehingga haiwan beredar,” ujarnya.
Jelasnya, julat pengesanan kamera LAARMA sekitar 200 meter hingga 1km dari papan tanda amaran bergantung pada saiz haiwan, bentuk jalan dan keadaan cuaca.

Keadaan hujan lebat atau kabus dikhuatiri akan menyukarkan kamera sehingga boleh mengurangkan jarak pengesanan dengan tepat.
“Pada 2024, hampir 30 burung kasuari mati dalam kemalangan jalan raya yang bukan sahaja mengakibatkan kepupusan haiwan, tetapi pada masa sama merosakkan jalan dan mengancam nyawa pemandu.
“Teknologi ini mampu memberi pemandu masa 5 hingga 10 saat untuk memperlahankan kenderaan sampai ke lokasi haiwan,” katanya.
Menurut Dr. Kunming dari Pusat Robotik Australia Universiti Sydney, beliau yakin LAARMA berupaya mengesan kehadiran burung kasuari dalam pelbagai keadaan.
Beliau juga yakin LAARMA bukan sahaja dapat mengesan haiwan, namun membantu keselamatan manusia pada masa hadapan. Alat itu juga berpotensi menawarkan pelindungan lanjut untuk spesies terancam lain serta keselamatan yang lebih baik di sekitar kawasan sekolah.
“Bagi mesej pada VMS, penyelidik QUT menggunakan sains tingkah laku untuk mereka bentuk mesej amaran yang dikesan, diuji melalui kumpulan fokus, tinjauan pemandu dan ujian simulator.
“Ini melindungi spesies terancam seperti kasuari sambil mengurangkan risiko kepada pemandu,” katanya memetik laporan Interesting Engineering.
Malah, pihak TMR kini sedang dalam usaha untuk menggunakan teknologi terbabit di wilayah lain.
Usaha tersebut mendapat sambutan baik oleh Pasukan Pemulihan Kasuari yang diketuai oleh Dr. Andrew Dennis.
Katanya, teknologi AI memberi manfaat kepada ekosistem haiwan yang berdepan dengan ancaman kepupusan.
“Haiwan liar ini tetap dapat meneruskan kehidupan secara semula jadi tanpa pengawasan dan pemandu juga tidak perlu bimbang sekiranya haiwan muncul secara tiba-tiba ketika memandu.
“Menarik mengenai teknologi itu apabila alat pengesan juga mampu mengeluarkan amaran pada masa nyata di kawasan trafik berat.
“Kita bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan, tetapi memberi kehidupan yang lebih baik kepada haiwan dan menjaga keselamatan nyawa orang awam,” katanya.















