MARSYITAH yang juga merupakan pelajar Sarjana Pendidikan (Pengurusan Sukan) di UKM ialah atlet sofbol kebangsaan.

Pengajian tidak halang Marsyitah aktif sofbol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI impian bagi setiap atlet untuk mewakili negara dalam sukan yang mereka ceburi.

Begitu juga buat Marsyitah Majid yang terlibat dalam sukan sofbol turut mempunyai impian yang sama.

Ternyata apa yang diidam-idamkannya itu menjadi kenyataan apabila dia terpilih untuk menjadi sebahagian daripada pemain bagi pasukan sofbol negara.

“Tiada apa yang saya boleh ungkapkan selain rasa syukur dan gembira apabila terpilih untuk menyarung jersi negara.

“Kerja keras saya selama ini dalam sukan sofbol akhirnya membuahkan hasil apabila saya terpilih untuk berada dalam pasukan kebangsaan bagi mewakili negara bagi kejohanan Sofbol Piala Asia 2025 yang berlangsung pada bulan lalu,” katanya yang merupakan pelajar Sarjana Pendidikan (Pengurusan Sukan) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahnya, terpilih mewakili negara menjadi satu kebanggaan buatnya kerana dia juga telah terlibat dengan sukan itu sudah lama.

Marsyitah yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik itu sudah terlibat dengan sukan sofbol ini sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Ketika di sekolah menengah, dia pernah mewakili negeri kelahirannya Pulau Pinang dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Meskipun menyambung pengajian di menara gading, dia tetap aktif dengan sukan tersebut dan turut menjadi tonggak pasukan UKM untuk beberapa kejohanan sofbol.

Pada 2023, Marsyitah dianugerahkan pengiktirafan sebagai atlet cemerlang UKM atas kecemerlangannya dalam sukan tersebut.

Jelas wanita itu, ketika ini, dia sedang berusaha keras bagi memastikan dirinya tersenarai dalam pasukan kebangsaan untuk Sukan SEA yang akan berlangsung di Thailand pada tahun ini.

“Saya akan mengikuti pemilihan untuk mewakili negara bagi kejohanan Sukan SEA ini.

“Jadi, saya perlu pastikan prestasi saya berada pada tahap terbaik dengan sentiasa berlatih bagi membolehkan saya terpilih mewakili negara lagi,” terangnya.

Selain itu, pada tahun ini, Marsyitah turut menceburi sukan besbol yang hampir mirip dengan sofbol.

Pada April lalu, dia juga telah mewakili Malaysia untuk Kejohanan Besbol Asia yang berlangsung di Thailand.

Dalam pada itu, meskipun sibuk dengan sukan, Marsyitah tetap mengutamakan pendidikan.

Dia kini sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dalam bidang pengurusan sukan di UKM.

Sebelum ini, dia juga telah memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada universiti yang sama.

“Ketika di sekolah saya ambil bidang ekonomi dan akaun. Oleh itu, apabila berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda saya terus ambil bidang yang sama.

“Pada masa sama, saya juga aktif bersukan. Bagi mencari sesuatu yang baharu, saya kemudian cuba mengambil bidang pengurusan sukan bagi pengajian di peringkat sarjana,” terangnya.

Bagi Marsyitah, itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepadanya di alam pekerjaan kelak.

Dia boleh memilih untuk bekerja di dalam bidang yang berkaitan ekonomi ataupun pengurusan sukan.

Sebagai pelajar sarjana sepenuh masa dan atlet aktif, Marsyitah mengakui disiplin masa adalah kunci utama.

Dia perlu membahagikan masa antara latihan dan akademik secara seimbang.

“Dalam hal ini, saya sangat mementingkan disiplin dalam penggunaan masa bagi memastikan kedua-duanya berjalan dengan baik.

“Pada hujung minggu, saya akan menghabiskan masa untuk latihan. Pada hari biasa, saya akan pergi ke gimnasium pada sebelah pagi. Selepas itu, saya akan menyelesaikan kerja-kerja berkaitan akademik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN