fbpx
Pengalaman mendaki Gunung Syue di Taiwan dikenang Nadhirah sebagai memori pendakian paling diingatinya.

Daki ‘batu bergerak’ di Gunung Syue

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEINDAHAN dan ketenangan berada di puncak gunung merupakan antara sebab wanita ini gemar aktiviti mendaki.

Selain itu, dia yang suka mencabar diri menjadikan aktiviti mendaki gunung sebagai salah satu cara untuk menduga kemampuan diri menempuhi laluan-laluan denai hingga ke puncak.

Menurut pendaki wanita, Nadhirah Basha, pengalaman paling diingatinya adalah ketika menyertai ekspedisi khas sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang dan pertabalan Al-Sultan

Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Katanya, pada ekspedisi itu, dia bersama 21 pendaki dari Malaysia mendaki Gunung Syue atau Xueshan di Taman Negara Shei-Pa yang merupakan gunung kedua tertinggi di Taiwan berketinggian 3,886 meter (m) dari paras laut.

“Itu merupakan kali pertama saya mendaki gunung di luar negara.

“Misi ini bukan sekadar pendakian, tetapi membawa semangat patriotisme dan penghormatan kepada negara,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, perasaan teruja bercampur rasa ingin tahu mengiringi setiap langkah sejak awal perjalanan.

Ekspedisi ini dirancang selama tiga hari dua malam melalui laluan popular bermula di trailhead, menuju Kabin Qika di ketinggian 2,463m, kemudian Kabin 369 di ketinggian 3,100m sebelum menawan puncak utama.

Cabaran bermula sebaik tiba di kawasan taman negara apabila bas tidak dapat melalui laluan sempit ke pejabat Taman Negara Shei-Pa.

“Semua peserta terpaksa berjalan kaki sejauh empat kilometer dalam hujan menuju ke pintu rimba. Dari situ, pendakian ke Kabin Qika sejauh dua kilometer bermula pada pukul 3 petang.

Dalam pendakian ke Gunung Syue, Nadhirah sempat bergambar dengan pasangan pelancong dan anak-anak mereka.

“Hujan lebat tanpa henti membuatkan kasut dan pakaian basah lencun, manakala trek licin dan berlumpur memerlukan tenaga tambahan,” ujarnya.

Hari kedua menjadi ujian ketahanan fizikal dan mental apabila peserta perlu segera menyesuaikan diri dengan ketinggian Kabin 369 untuk mengelakkan masalah Acute Mountain Sickness (AMS).

Suhu ketika itu menjunam serendah dua darjah Celsius, disertai hujan dan laluan berbatu yang licin, namun ia bukan penghalang buat dirinya untuk mendaki menawan Gunung Syue.

Perjalanan ke puncak pada hari ketiga membawa cabaran paling besar. Laluan berbatu kasar yang sentiasa bergerak memerlukan pendaki berhati-hati setiap kali melangkah bagi mengelakkan kecederaan atau terjatuh ke lereng.

“Batu-batu di laluan puncak mudah berganjak, salah langkah boleh bawa padah, dalam perjalanan, kami turut melewati habitat haiwan liar seperti beruang, babi hutan dan rusa, menambahkan rasa kagum terhadap kekayaan alam semula jadi di kawasan pergunungan ini.

“Ketika cuaca semakin berkabus dan oksigen semakin nipis, rasa ragu-ragu mula timbul, namun semangat pasukan mengatasi segalanya,” katanya.

Akhirnya, semua 21 peserta berjaya tiba di puncak termasuk seorang pendaki berusia 60 tahun. Detik itu menjadi sangat bermakna apabila Jalur Gemilang dan bendera Negeri Pahang berjaya dikibarkan bersama kain rentang bergambar Sultan Pahang dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN