PETALING JAYA – Malaysia sedang berdepan pandemik penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu obesiti, diabetes, penyakit jantung dan strok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pandemik NCD berkenaan menyumbang lebih 70 peratus kematian pramatang.
“Dengan kos ekonomi sama ada kos langsung dan tidak langsung mencecah RM64 bilion setahun,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Dzulkefly berkata, beliau hari ini melancarkan aplikasi kesihatan digital Roczen Universal yang dibangunkan Reset Health dan diiktiraf National Health Service (NHS) UK.
Kata beliau, Malaysia kini memperkenalkannya melalui projek perintis di sembilan komuniti Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Gombak.
Menurut beliau, projek perintis itu menyasarkan antara 1,000 hingga 2,000 peserta berlebihan berat badan atau obes.
Jelasnya, melalui Roczen Universal, rakyat boleh belajar tentang pemakanan, aktiviti fizikal dan kesihatan minda; memantau sendiri berat, tekanan darah dan ujian darah serta mendapat sokongan komuniti digital.
“Dengan tema Healthy Parents, Healthy Children, program ini menekankan tabiat sihat di rumah dan perubahan tingkah laku (behavioral change) yang berkekalan.
“Roczen Universal adalah jawapan inovatif untuk mencegah sebelum merawat, membina komuniti sihat, produktif dan sejahtera.
“Inilah contoh kerjasama awam – swasta yang saya percaya boleh diperluas ke seluruh negara demi masa depan generasi Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE