MERSING – Kegembiraan seorang suami yang pulang ke rumahnya selepas seharian bekerja bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia dikejutkan dengan keadaan isterinya yang terbaring kaku akibat diserang strok dalam kejadian di Taman Nelayan di sini pada Disember lalu.
Ibrahim Abd Kadir, 44, berkata, detik itu turut menjadi titik tolak kepada perubahan dalam keluarganya yang selama ini banyak diuruskan oleh isteri, Nor Zuliani Zulkafli, 44.
“Biasanya tengah hari isteri akan telefon tanya saya balik makan atau tidak. Hari itu langsung tiada panggilan. Saya tidak fikir apa-apa sebab sedang bekerja.
“Ketika ditemui, isteri tidak pengsan dan masih sedar. Namun, keadaannya sangat lemah, tidak mampu bangun sendiri dan separuh badan kiri tidak boleh digerakkan.
“Sekeliling isteri juga basah kerana dia terbuang air kecil ketika itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati isteri mengalami strok ringan (minor strok),” katanya ketika ditemui sempena ziarah Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof bersama Pengurus
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kluang, Mohd. Saifuddin Mohd Nor di Taman Nelayan di sini semalam.
Ibrahim berkata, isterinya tidak pernah mempunyai sejarah penyakit darah tinggi sebelum ini, namun bacaan tekanan darahnya mencecah lebih 200 ketika menerima rawatan pada hari kejadian.
Katanya, faktor keletihan dipercayai menjadi punca isterinya diserang strok.
“Sebelum ini isteri ada mengambil tempahan gubahan bunga selama tiga hari berturut-turut tanpa rehat,” katanya.
Pasangan itu kini tinggal di rumah mentua bagi memudahkan penjagaan ibu kepada dua orang anak itu.
“Lebih sebulan juga saya tidak dapat keluar bekerja. Anak pula masih belajar, jadi memang terasa tekanan dari segi kewangan.
“Awal-awal kejadian, dia hanya terbaring dan sekarang sudah duduk di kerusi roda. Saya pun boleh keluar bekerja dan urusan isteri buat masa ini ibu yang banyak bantu,” katanya.
Bapa kepada dua orang anak berusia 21 dan 20 tahun yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka itu turut meluahkan rasa lega apabila menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Jika sebelum ini, kira-kira RM300 dibelanjakan sebulan untuk membeli kelengkapan isteri seperti lampin pakai buang dan kini kami dibantu sepenuhnya oleh pihak Perkeso.
“Saya cuma berharap isteri akan sihat macam dulu selepas jalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi yang dijadualkan oleh pihak Perkeso nanti. Itu saja doa kami sekeluarga,” katanya.














