PETALING JAYA – Selepas Faisal Halim disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5 Mei tahun lalu, kini anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli pula diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 1.45 tengah hari itu, anak lelaki Rafizi berusia 12 tahun diheret seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum suntikan ketika ingin memasuki kereta untuk meninggalkan pusat pusat beli-belah itu bersama ibunya.
Penganalisis Jenayah dan Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, keselamatan di pusat beli-belah perlu dipertingkatkan susulan kejadian jenayah di lokasi tumpuan awam yang semakin membimbangkan.
Katanya, ia boleh diatasi dengan kawalan keselamatan yang lebih efisien termasuk penggunaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang berkualiti.
“Pengendali pusat beli-belah perlu menaik taraf CCTV supaya jika berlaku jenayah, ia dapat mengesan pelaku dan membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lebih pantas,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, antara faktor utama penjenayah berani memilih tempat awam sebagai lokasi melakukan serangan mungkin kerana dendam atau telah diupah dengan nilai yang lumayan.
Selain itu, katanya, pelaku mungkin mengambil dadah yang membantu mereka untuk bertindak sedemikian tanpa menghiraukan khalayak ramai.
Sementara itu, Rafizi berkata, ketika kejadian, anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari pusat beli-belah itu.
Katanya, anaknya kemudian ditarik oleh seorang lelaki sebelum dicucuk dengan jarum.
“Semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isteri saya sebelum insiden. Mereka berpakaian serba hitam, bertopi keledar penuh yang menutup muka.
“Mereka dipercayai telah menunggu sebelum bertindak menyerang pada masa yang sesuai. Inilah kali pertama keluarga saya menjadi sasaran serangan dan ugutan seperti ini,” katanya.
Pada sidang akhbar di Parlimen, Rafizi berkata, anak lelakinya kini dalam keadaan baik dan telah melakukan pemeriksaan awal termasuk ujian darah dan pemerhatian daripada pasukan perubatan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah.
“Ada tiga kemungkinan, ini pandangan saya yang bukan perubatan. Ujian perubatan itu perlu menunggu lagi. Sama ada yang disuntik itu dadah atau racun, kedua ialah berbentuk virus, hepatitis, HIV dan lain-lain.
“Ketiga, ia hanya kosong, suntik air. Untuk tempoh 24 jam pertama, keutamaannya selain daripada ujian darah, untuk kita tolak kemungkinan dadah atau racun. Setakat ini dia nampak okay, tiada kesan segera,” katanya semalam.
Ujarnya, anaknya juga perlu melalui ujian darah sekali lagi pada masa akan datang, manakala pemerhatian masih diteruskan termasuk perubahan sikap.
“Hospital ada siri ujian darah perlu dilakukan. Kalau ada pengesahan racun atau dadah, ia akan beri kesan segera contohnya, pening kepala, muntah, pengsan, tapi setakat ini tidak ada.
“Selepas ujian bersiri secara penuh, baru kita dapat tengok kalau (disuntik) virus di dalam badan. Jadi saya tak rasa ada jalan singkat untuk tahu keputusan tersebut,” katanya. -KOSMO! ONLINE














