PUTRAJAYA – “Ada pengumuman jauh lebih penting, itu pada hari belanjawan Oktober nanti, insya-Allah,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas mengumumkan beberapa perkara penting kepada penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-20 (MAPPA XX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Ia kemudian mendapat sorakan dan tepukan daripada penjawat awam yang hadir pada majlis tersebut.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan, kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober 2025.
Kementerian Kewangan akan menyelaras penglibatan menyeluruh pihak berkepentingan dan orang awam untuk mendapatkan input belanjawan selaras dengan keutamaan Ekonomi Madani.
Belanjawan 2026 akan terus menelusuri tiga tonggak Ekonomi Madani iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan, terutamanya tatakelola yang baik.
Belanjawan ini juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 – 2030 yang terus memaknai tiga tonggak utama Ekonomi Madani itu. – KOSMO! ONLINE