Ramai orang mengenali Pantai Penarik di Terengganu kerana masakan makanan laut seperti ikan, sotong dan udang celup tepungnya yang terkenal. Namun bagi pemancing, kawasan ini lebih tersohor dengan estuarinya yang merupakan lubuk bagi pelbagai ikan pemangsa seperti siakap dan tarpon. Paling istimewa adalah ikan spesies snakehead seperti toman, kerandang dan haruan.
Sepanjang enam bulan lepas, saya dan rakan-rakan berpeluang ‘turun’ mengilat dan merasai pengalaman memancing di sungai ini. Jarak dari rumah sewa yang dekat membolehkan kami turun secara berkala dan mengenali lubuk-lubuk yang berpotensi.
Di sini, kami memilih untuk menggunakan khidmat bot sewa ditawarkan oleh warga tempatan yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Mizam.
Sepanjang ekspedisi kami di sini, cukup banyak ikan toman, kerandang dan haruan yang telah didaratkan. Uniknya, ikan spesies bak kepala ular ini berhabitatkan perairan air masin atau lebih tepatnya berair payau.
Jarak kawasan pancingan kami dengan muara sungai yang bertemu dengan laut hanya lebih kurang tujuh ke lapan kilometer (km). Jadi, kawasan yang ada ikan-ikan snakehead ini masih bersaliniti tinggi. Reba-reba di tebing juga berupa pohon nipah, pokok berembang dan bakau.
Rekod toman yang berjaya kami naikkan di sini adalah seekor ‘mama’ toman seberat 7.3 kilogram (kg).
Rekod bagi kerandang pula adalah seberat hampir 2kg. Kesemuanya dinaikkan dengan teknik mengilat ke bawah pepohon nipah.
Lokasi
Sungai Penarik merupakan sebatang sungai berair payau dan bersambung dengan Sungai Merang melalui Sungai Chalok hingga ke Pantai Mangkuk. Jarak dari Kuala Terengganu lebih kurang 56km.
Lokasi sungai ini yang berdekatan dengan sempadan Kelantan juga membuatkan ia menjadi tumpuan pemancing tegar dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kebiasaannya, kami akan turun dari jeti yang terletak berdekatan dengan satu simpang sungai yang diberi nama Sungai Nyatuh. Dengan menggunakan bot, kami mengambil masa lebih kurang lima minit untuk ke lubuk pertama.

Di sana, kami cuba mencari ikan toman terlebih dahulu. Di sungai utama ini, masih boleh dapat ikan kerandang. Namun, jika ingin mengkhususkan spesies ini, kami perlu masuk ke satu lagi anak sungai yang populasi kerandangnya lebih banyak. Selalunya, kami akan berpatah balik ke jeti apabila sampai di jambatan Bukit Putera.
Gewang dan teknik
Gewang yang menjadi kegemaran kami di sini untuk memburu toman adalah soft plastic dengan bentuk ekor pendayung (paddletail) dan bentuk ‘V’ (split tail) yang bersaiz 12 sentimeter (sm) ke atas.
Jika kami menggunakan soft plastic yang lebih kecil, sambungan tali kevlar akan kami gunakan sebagai insurans. Ini kerana, toman di sini cukup ganas dan berpotensi untuk memutuskan perambut walaupun tebal diameternya.
Bagi memburu kerandang pula, gewang yang selalu kami gunakan adalah katak getah bersaiz kecil dan soft plastic berbentuk berudu. Kadangkala, soft plastic saiz 12sm ke atas juga ‘disedut’ kerandang bersaiz mega di sini.
Teknik yang selalu kami manfaatkan untuk memburu toman di sini adalah hampir 80 peratus skipping ke bawah pohonan nipah dan ranting pokok-pokok renek. Ini kerana ikan toman di sini gemar berlindung di bawah pohon-pohon tersebut.
Teknik memburu kerandang di sini pula lebih kurang sama, cuma impak gewang yang jatuh ke air perlu lebih lembut bagi mengelakkan ia terkejut. Teknik terbaik, gewang soft plastic weedless dilontar ke atas tebing, selepas itu barulah ditarik perlahan-lahan masuk ke dalam air.

Di sungai ini, set mengilat haruslah berkekuatan tinggi dengan drag yang kuat. Rata-rata kami menggunakan tali braid 30 paun (lb) dengan shock leader 50lb kerana ikan toman yang hidup di kawasan bersaliniti tinggi dan sering melawan arus pasang dan surut air setiap hari mempunyai kekuatan luar biasa.
Masa terbaik
Dalam pemerhatian saya, masa terbaik untuk mengilat ikan toman di sini adalah ketika air berada pada paras sederhana.
Jika air terlalu surut, maka ikan akan kurang bermain di tebing dan menyukarkan kami untuk mencarinya.
Jika air terlalu tinggi pula, ruang untuk menghantar gewang rapat ke reba akan menjadi terhad. Namun, jika sasaran saya adalah ikan kerandang, saya akan memilih ketika air surut habis bagi meningkatkan peluang untuk mencarinya.
Dalam banyak-banyak trip kami ke sini, pancingan akan kurang meriah jika air terlalu keruh apabila berlakunya hujan berterusan.
Sebaiknya, kena tanya dulu warga setempat mengenai keadaan air sebelum turun mengilat di sini.
















