KEMAMAN – Pengawal keselamatan sebuah sekolah di daerah ini, A. Zani Ghazali, 51, maut akibat lemas sewaktu menyelam untuk memeriksa unjam bagi menangkap ikan berhampiran Pantai Telekom Kemasik di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh, Khairulhasni Mokhtar berkata, A. Zani bersama dua rakannya menaiki bot untuk menangkap ikan di pantai tersebut pada pukul 10 pagi sebelum mangsa bersama seorang rakannya menyelam untuk memeriksa unjam, namun dia tiba-tiba tidak sedarkan diri.
“Rakannya membawanya naik semula ke atas bot sebelum pulang ke gigi pantai dan menghubungi pihak berkuasa meminta bantuan. Sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 1.41 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Khairulhasni berkata, A. Zani cuba diselamatkan dengan diberi bantuan pernafasan tetapi gagal sebelum mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE