Asas sebuah kerajaan ialah berkhidmat kepada rakyat. Orang yang memacu sesebuah kerajaan pula dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.
Rakyat memilih pemimpin dengan harapan mereka inilah yang akan membela nasib dan menyediakan pelbagai kemudahan yang diperlukan selain membawa negara ke arah kemajuan.
Dalam sejarah Malaysia, kerajaan telah bertukar ganti sejak kejatuhan Barisan Nasional yang kalah teruk pada Pilihan Raya ke-14 pada 2008 sehinggalah kita kini dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ketika zaman kegemilangan BN, pelbagai inisiatif telah diwujudkan untuk kebajikan rakyat dan ia diikuti pula oleh kerajaan-kerajaan selepasnya.
Kerajaan Malaysia Madani pimpinan Anwar juga begitu. Pelbagai usaha dan inisiatif telah disediakan untuk rakyat termasuk perancangan untuk mewujudkan Pangkalan Data Utama (Padu) dan MyDigital ID.
Padu merupakan pangkalan data yang mengandungi profil penduduk warganegara dan pemastautin tetap yang tinggal di Malaysia bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar terutamanya pengagihan bantuan.
Idea penubuhan MyDigital ID pula ialah untuk menjadikannya sebagai platform sehenti bagi memudahkan urusan rakyat dengan mendigitalkan perkhidmatan awam.
Menurut Anwar, MyDigital ID akan diperkasakan melalui Rancangan Malaysia ke-13 bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.
Kedua-dua inisiatif itu bukanlah benda baharu. Ia telah diwujudkan ketika Datuk Seri Rafizi Ramli menjadi Menteri Ekonomi sebelum beliau meletakkan jawatan, 17 Jun lalu.
Seperti biasa, apa yang dilakukan kerajaan tidak lekang dengan kritikan dan komen sinis pihak yang tidak berpuas hati. Masih segar dalam ingatan, bagaimana
sebahagian rakan mempelekehkan tindakan penulis ketika mengisi maklumat menerusi Padu dan MyDigital ID.
Sehingga ke hari ini, 11.55 juta telah mengisi maklumat di Padu, manakala hanya 2.8 juta telah melengkapkan MyDigital ID.
Apa yang pasti, kedua-dua aplikasi tersebut diwujudkan demi kebaikan rakyat cuma beberapa masalah teknikal yang timbul telah menyebabkannya ‘hilang’ daripada radar buat sementara waktu.
Adalah diharapkan kehilangannya tidak terlalu lama kerana jika difikirkan kedua-dua aplikasi itu sudah pasti membawa kebaikan buat pengguna.
Sememangnya rakyat mengharapkan yang terbaik walau siapa pun yang memerintah dan menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan segala kemudahan.
Seharusnya kita bersyukur kerana masih dapat menetap di negara yang aman dan mudah mencari rezeki tanpa sebarang pertumpahan darah seperi yang berlaku di sesetengah negara.
Diharapkan nikmat kehidupan ini dapat dikekalkan sehingga dapat dinikmati oleh generasi akan datang.















